450 juta dos vaksin Covid-19 sudah digunakan di China
BEIJING - Hampir 450 juta dos vaksin Covid-19 sudah digunakan di China setakat Rabu, menurut Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan (NHC).
Selain itu, jumlah inokulasi yang dijalankan sejak lapan hari lalu mencecah 100 juta dos.
Mengulas mengenai kluster jangkitan yang dikesan di wilayah Liaoning dan Anhui baru-baru ini, Naib Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit NHC, Wu Liangyou berkata, tidak akan berlaku penularan wabak dalam skala besar.
Bagaimanapun katanya, usaha mengekang wabak perlu terus dijalankan dengan bersungguh-sungguh memandangkan risiko kes import masih tinggi.
Penyelidik Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit China (CCDC), Shao Yiming pula berkata, hasil penyelidikan peringkat awal memperlihatkan vaksin China mampu memberi perlindungan terhadap varian virus India.
Tambah beliau, sekiranya didapati tidak berkesan terhadap varian susulan mutasi seterusnya, vaksin nyahaktif China boleh diadaptasi dengan kaedah yang mudah lagi pantas.
Jelas Yiming, vaksin baharu akan digunakan sebaik mendapati vaksin sedia ada tidak mampu menangani varian Covid-19. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!