'Hari ini adalah hari raya pertama di Palestin'
KUALA LUMPUR - Perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas adalah kejayaan buat rakyat Palestin sejak serangan di Gaza 10 Mei lepas, kata Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia Muslim, Imran.
Beliau yang fasih berbahasa Melayu berkata, ia juga menandakan hari pertama umat Islam di Palestin dapat meraikan Aidilfitri sejak serangan yang berlaku pada akhir Ramadan.
"Hari ini adalah hari raya pertama di Palestin dan itu menandakan perlawanan kita cukup kuat. Walaupun Israel mempunyai bantuan pertahanan, namun semangat rakyat Palestin lebih kuat," katanya menerusi program disiarkan di Facebook Bernama TV yang membincangkan topik Peta Palestin.
Kabinet Keselamatan Israel pada Khamis bersetuju menghentikan serangan di Semenanjung Gaza yang dikepung dan menerima perjanjian gencatan senjata dengan Hamas.
Seramai 232 rakyat Palestin, termasuk 65 kanak-kanak dan 39 wanita terbunuh dalam serangan Israel ke atas Gaza sejak 10 Mei lalu.
Dibesarkan di Palestin, Muslim berkata, kehidupan di bawah penjajahan Israel bukan perkara mudah kerana puak tentera berkenaan boleh menyerang pada bila-bila masa, selain mempunyai 300 tempat pemeriksaan di Tebing Barat.
"Setiap dua atau tiga tahun Israel akan serang, ibaratnya jika rumput tumbuh, mereka (Israel) akan potong. Walaupun sekarang kita ada gencatan senjata dan boleh sambut kemenangan di Gaza, namun perjuangan rakyat Palestin belum selesai," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata, proses pendidikan dan solidariti terhadap rakyat Palestin perlu dilaksanakan secara berterusan.
"Bagi kami sebagai kemanusiaan, ini bukan perang. Kami tidak mahu menggunakan istilah ‘perang’ kerana ia tidak setanding.
“Ia adalah bencana buatan manusia, pembersihan etnik ada di sana. Kami mahu solidariti di sini menyasarkan rakyat di peringkat global, membebaskan mereka daripada ketidakadilan ini,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!