Dakwaan 40 peniaga Pasar Besar Alor Setar positif Covid-19 palsu
ALOR SETAR - Orang ramai diminta tidak mempercayai khabar angin berkaitan dakwaan penularan Covid-19 membabitkan 40 peniaga di Pasar Besar Alor Setar di sini.
Pengerusi Pasar Besar Alor Setar, Mohd Fauzi Sharip berkata, khabar angin berkenaan yang dicetuskan oleh individu tidak bertanggungjawab memberi kesan besar kepada pendapatan peniaga kebelakangan ini.
Katanya, ramai peniaga kerugian berikutan barang jualan tidak habis dijual dan mengalami kerosakan.
"Isu yang cuba dimainkan itu adalah palsu dan bohong semata-mata. Ia menyebabkan peniaga menanggung kerugian kerana pelanggan berkurangan secara mendadak sejak isu itu ditimbulkan kira-kira tiga hari lalu," katanya ketika ditemui di Pasar Besar di sini pada Jumaat.
Menurutnya, susulan itu dia mewakili 418 peniaga di situ menyeru orang ramai kembali menyokong peniagaan mereka di pasar berkenaan.
"Saya bersama pegawai -pegawai bertanggungjawab sentiasa memastikan prosedur operasi standard (SOP) di sini terjaga sejak dari awal pagi sehingga kami tamat berniaga," katanya.
Seorang peniaga sayur, Mawardi Taha, 50 berkata, ketika berita palsu itu mula ditularkan, pasar besar berkenaan sunyi tanpa kehadiran pengunjung seperti kebiasaannya.
"Paling ketara semalam (Khamis) memang tak ada orang, barang jualan saya juga banyak yang rosak sebab sayur-sayuran ini ada yang tak tahan lama.
"Alhamdulillah hari ini (Jumaat) nampak ada peningkatan pengunjung sedikit mungkin sebab peniaga sepakat buat penjelasan untuk nafikan khabar angin terbabit," katanya.
Bagi peniaga ikan, Suiad Othman, 63, dia berharap orang ramai tidak terpengaruh dengan khabar angin itu.
"Kalau betul 40 peniaga positif Covid-19, dah lama kerajaan negeri suruh tutup pasar ini, tapi tak ada arahan apa-apa pun dan kami masih berniaga seperti biasa.
"Lagipun pengurusan pasar ini sangat mengutamakan SOP, ada laluan masuk dan keluar, laluan yang tidak sepatutnya pun ditutup. Pihak polis juga setiap hari buat rondaan dan pemantauan. Jadi saya harap orang ramai tidak cepat terpedaya dengan berita palsu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!