PKPD: Tiada belian panik di kedai runcit
IPOH - Di sebalik orang ramai berpusu-pusu ke pasar raya membeli barang keperluan menjelang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di empat mukim di Perak bermula 22 Mei sehingga 4 Jun, lain pun cerita di kedai-kedai runcit.
Beberapa kedai runcit yang dikunjungi Sinar Harian mendapati tiada sebarang pembelian panik berlaku malah jumlah pelanggan juga sangat sedikit.
Seorang pemilik kedai, Mohamed Arib Aliah memberitahu, sejak diumumkan pada Khamis mengenai PKPD, orang ramai datang ke kedainya membeli barang-barang seperti biasa.
Menurutnya, seperti mana pasar raya lain, kedainya juga mempunyai barang-barang keperluan lain namun tidak begitu mendapat perhatian berbanding pasar raya.
"Di kedai-kedai runcit di sekitar Ipoh ini memang tak ada pembelian panik malah stok barang-barang juga mencukupi. Saya cadangkan orang ramai beli barang-barang di kedai runcit sebab lebih selamat kerana tak ramai orang.
"Pada masa sama boleh bantu peniaga kecil macam kami ini untuk terus bertahan dalam tempoh pandemik Covid-19 yang sedang melanda ketika ini," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Menurutnya, setakat ini semua barang keperluan di kedainya yang terletak di Tasek, di sini masih mencukupi sama ada barangan basah mahupun kering.
Mohamed Arib berkata, orang ramai tidak seharusnya membuat pembelian panik kerana sepanjang tempoh PKPD semua kedai runcit mahupun pasar raya dibuka seperti biasa.
Beberapa pasar raya di sekitar Ipoh diserbu orang ramai menjelang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi Mukim Hulu Kinta bermula 22 Mei ini.
Tinjauan Sinar Harian sejak petang Khamis mendapati orang ramai beratur panjang di pasar raya di sekitar Ipoh untuk mendapatkan bekalan keperluan.
Dalam tinjauan pada pagi Jumaat, di Pusat Bandar Ipoh, Bandar Meru Raya, Klebang, Jelapang dan Silibin mendapati orang ramai sanggup beratur menunggu giliran sehingga ke luar pasar raya untuk mendapatkan barangan keperluan.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak dalam satu kenyataan menasihati orang ramai supaya merancang pembelian barangan berdasarkan kepada keperluan sebenar.
ARTIKEL BERKAITAN: PKPD: Orang ramai serbu pasar raya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!