PM bertemu pemimpin industri bincang isu Covid-19
SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan bersama pemimpin industri pada Jumaat buat kali kedua dalam tempoh dua bulan bagi mendapatkan pandangan serta idea mengenai keseimbangan antara kawalan Covid-19 dan impak ekonomi.
Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau turut sama dalam pertemuan bersama wakil industri yang diadakan secara maya itu.
Katanya, MITI sentiasa berada di hadapan dalam aspek ekonomi dan mendengar keluhan pihak industri.
“Peranan pihak industri penting dalam memastikan kita menang dalam peperangan melalui penggunaan kaedah yang mampan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Jumaat.
Muhyiddin mengadakan perjumpaan secara maya disertai lebih 100 ketua industri daripada persatuan dan dewan-dewan perniagaan tempatan serta luar negara.
Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, sesi tersebut memberi peluang kepada pihak industri untuk berbincang dengan kerajaan mengenai situasi ekonomi semasa dan penambahbaikan dalam pelaksanaan kawalan penularan Covid-19 yang semakin membimbangkan.
“Tujuan utama pertemuan ini adalah untuk bertukar pandangan tentang cara berkesan mengurangkan kenaikan kes Covid-19 sambil meminimumkan kesan kepada ekonomi.
Katanya, MITI akan sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan memainkan peranan mereka dalam membantu pelabur serta pemain industri dalam menghadapi situasi mencabar ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!