Jari putus 'dimakan' mesin penghancur herba
BESTARI JAYA - Seorang operator wanita putus jari tengah apabila tangan kanannya tersepit dalam mesin penghancur bahan herba di sebuah kilang di Ijok di sini, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya, Penolong Penguasa Bomba, Azrel Izaidy Ahamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.08 petang.
"Pasukan dengan kekuatan 10 pegawai dan anggota diketuai komander operasi, Pegawai Bomba Kanan II, M Pushparajan terus ke lokasi kejadian di sebuah kilang di Jalan Harmoni 4.
"Sebaik tiba di lokasi, didapati tangan kanan mangsa seorang wanita berusia 27 tahun tersepit dalam mesin penghancur herba ketika sedang bekerja," katanya.
Katanya, operasi mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit menggunakan alat khas dan membuka mesin penghancur terbabit.
"Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan parah pada tangan kanan dan terputus jari tengah sebelum dibawa ke Hospital Sungai Buloh," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!