Pembantu perubatan, pesakit cedera ambulans terbalik
MUAR - Seorang pembantu perubatan patah tangan manakala seorang pesakit cedera selepas ambulans dinaiki mereka terlibat kemalangan di hadapan Perumahan Kastam, Jalan Bakri Batu 4 di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian pada jam 12.20 tengah hari, ambulans tersebut terbabas dan hilang kawalan sebelum terbalik atas longkang di jalan itu.
Selain pembantu perubatan tersebut, seorang pesakit wanita, 35, cedera di muka manakala pemandu ambulans, 40-an dan seorang wanita warga emas, 72, terselamat.
Seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar dengan sebuah jentera Ligght Fire Rescue Team (LFRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan dua unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dikejarkan ke tempat kejadian.
Komander Operasinya, Penguasa Bomba Kanab II Zuraimi Harun berkata, orang awam sudah mengeluarkan semua mangsa dalam ambulans jenis Toyota Hiace tersebut sejurus pihaknya tiba.
"Pihak bomba bertindak menghantar seorang mangsa menaiki jentera EMRS BBP Muar manakala tiga mangsa lagi dihantar menaiki ambulans ke hospital berhampiran.
"Operasi tamat pada jam 12.40 tengah hari," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!