'Jangan lari, kekal di rumah masing-masing'
TUMPAT - Kira-kira 1,583 penduduk di empat buah pulau di Mukim Sungai Pinang di sini diingatkan supaya kekal berada di kediaman masing-masing dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang akan berkuat kuasa mulai malam ini hingga 4 Jun.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, kerjasama penduduk amat penting bagi membantu petugas kesihatan membuat saringan Covid-19 di kawasan tersebut seterusnya membendung penularan wabak Covid-19 di lokaliti terlibat.
"Tak perlu lari dan jangan juga lari ke kampung orang lain, saya telah menugaskan seorang pegawai dan 30 anggota polis untuk mengawal empat pulau terlibat iaitu Teluk Renjuna, Pantai Hj Nik Mat, Pulau Beluru dan Pantai Suri sepanjang PKPD ini.
"Malah PKPD kali ini akan turut melibatkan penugasan oleh Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, pemantauan turut dilaksanakan di empat jeti iaitu tiga di dalam Daerah Tumpat dan sebuah dalam Daerah Kota Bharu yang menjadi laluan atau pintu masuk utama ke pulau terlibat," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas meninjau Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) PKPD Kepulauan Tumpat di sini pada Jumaat.
Penularan Covid-19 di Kepulauan Tumpat dipercayai berlaku selepas seorang wanita berusia lingkungan 20an yang menetap di Mukim Bunut Susu, Pasir Mas, pulang ke salah sebuah pulau tersebut dipercayai untuk menyambut perayaan Aidilfitri. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!