MERCY Malaysia salur bantuan bernilai RM500,000 kepada Gaza
KUALA LUMPUR - MERCY Malaysia telah menyalurkan bantuan kecemasan dan perubatan fasa pertama bernilai RM500,000 kepada penduduk Palestin selepas serangan awal rejim Zionis Israel di Masjid al-Aqsa pada awal bulan ini.
Presiden MERCY Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata, antara bantuan kecemasan yang dihantar menerusi fasa pertama ialah ubatan-ubatan serta alat kesihatan dan pembedahan (termasuk rawatan rapi).
“Bantuan itu disalurkan kepada Kementerian Kesihatan Palestin yang akan mengagihkannya kepada 33 hospital di Gaza yang terjejas,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
MERCY Malaysia juga sudah mula mengagihkan bantuan makanan dan perkakasan isi rumah kepada 100 keluarga (daripada 1,200 keluarga) selain peralatan dapur, bantal, selimut dan mesin basuh kepada 50 keluarga lain. Penerima manfaat adalah antara 72,000 keluarga yang terkesan akibat serangan rejim Israel.
Bantuan lain yang sedang dijalankan melalui fasa pertama bantuan ke Palestin ialah menyediakan tempat tinggal sementara di Gaza dan Timur Baitulmaqdis, meneruskan program bekalan air bersih serta program bantuan psikososial khususnya kepada mangsa trauma.
Katanya, penghantaran kedua bantuan pula masih dalam perjalanan kerana sekatan di sempadan Rafah (pintu masuk Gaza).
MERCY Malaysia telah menghulurkan bantuan di bumi Palestin sejak Perang Gaza (2008-2009) hingga kini, dalam situasi perang dan bukan perang.
Dr Ahmad Faizal berkata, MERCY Malaysia menyifatkan gencatan senjata di Gaza yang dicapai antara beberapa pihak di Palestin dan Israel hari ini sebagai perkembangan positif yang akan membuka laluan bagi bantuan kemanusiaan ke wilayah konflik itu.
Beliau berkata, gencatan senjata itu akan meredakan ketegangan di rantau Asia Barat serta mengelakkan lebih ramai orang awam terkorban di wilayah konflik terbabit.
Kabinet Keselamatan Israel pada Khamis bersetuju menghentikan serangan di Semenanjung Gaza yang dikepung dan menerima perjanjian gencatan senjata dengan Hamas.
Gencatan senjata itu berkuat kuasa pada 2 pagi Jumaat (2300GMT Khamis) dan dipersetujui selepas 11 hari Israel melancarkan serangan udara ke atas Semenanjung Gaza yang dikepung manakala Mesir bertindak sebagai perantara.
Sejak 10 Mei lalu, seramai 232 rakyat Palestin termasuk 65 kanak-kanak dan 39 wanita terbunuh dalam serangan Israel ke atas Gaza. - Bernama
TAG: MERCY Malaysia, gaza, palestin, gencatan senjata, bantuan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!