Media sosial buka mata dunia, beri tekanan kepada AS

Mohammad Redzuan pada program Sinar Live bertajuk ‘Krisis Palestin-Israel: Konflik Yang Tak Sudah’ yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Jumaat.
Mohammad Redzuan pada program Sinar Live bertajuk ‘Krisis Palestin-Israel: Konflik Yang Tak Sudah’ yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Usaha memaksimumkan peranan media sosial bagi menyebarluaskan kekejaman Israel terhadap penduduk Palestin, dilihat mampu menggerakkan penyelesaikan krisis itu melalui campur tangan Amerika Syarikat (AS).

Naib Canselor Universiti Selangor, Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, hanya AS yang boleh menghentikan konflik yang sudah berlarutan sejak lebih 70 tahun itu selaku kuasa besar yang boleh memaksa Israel untuk mencapai penyelesaian.

Bagaimanapun katanya, tekanan harus terus diberikan kepada AS dan dalam soal itu, peranan media sosial ketika ini dilihat mempunyai potensi untuk meletakkan AS dalam tekanan dengan membuka mata rakyatnya dan rakyat dunia.

“Masyarakat antarabangsa harus bangun dan menyatakan protes mereka terhadap kezaliman yang berlaku. Dengan peranan dimainkan di media sosial telah terbukti apabila seluruh dunia mengadakan protes.

“Kita boleh lihat yang berlaku sekarang ini apabila rakyat AS sendiri bangkit mempersoalkan kenapa beri AS$3 bilion kepada Israel sedangkan sebelum ini kita tidak mendengar rakyat AS secara terang-terang memprotes presiden mereka... rakyat Britain menentang perdana menteri mereka.

“Saya yakin kalau mereka bergantung seperti sebelum ini dengan media utama Barat, mereka tidak akan dapat gambaran sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Sinar Live bertajuk ‘Krisis Palestin-Israel: Konflik Yang Tak Sudah’ yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Jumaat.

Jelas beliau, oleh itu peranan aktivis media sosial khususnya individu yang berpengaruh amat penting dalam memberikan perspektif sebenar kepada masyarakat dunia khususnya AS.

Artikel Berkaitan:

“Kita tahu masyarakat AS adalah masyarakat yang terbuka, realistik dan jika mereka melihat ini sebagai satu kezaliman dan mereka bangkit.

“Saya yakin ia akan berikan satu impak yang berlainan daripada perkara-perkara yang pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!