Doktor terawal dijangkiti Covid-19
KUALA LUMPUR - Pengalaman bergelar pesakit Covid-19 pada 3 April tahun lalu merupakan memori yang masih membekas dalam ingatan seorang doktor muda bernama Noor Hasyimah Zakaria.
Dr Noor Hasyimah atau mesra dipanggil Dr Syima berkata, episod duka itu mempunyai impak tersendiri dalam hidupnya kerana pada ketika itu masih banyak belum diketahui tentang virus Covid-19.
“Pada ketika itu, virus Covid-19 baru lagi di Malaysia dan kes pun tidak banyak. Kita masih tidak tahu sejauh mana bahayanya dan adakah pesakit boleh sembuh sekiranya dijangkiti,” ujar Dr Syima yang kini bertugas di Klinik Kesihatan Ampang dalam temu ramah bersama Sinar Harian.
Menceritakan semula detik dijangkiti Covid-19 ketika berkhidmat di sebuah klinik kesihatan di Negeri Sembilan, Dr Syima berkata, kesnya merupakan antara yang terawal melibatkan jangkitan Covid-19 dalam kalangan doktor di Malaysia.
“Pada awalnya, saya mengalami simptom demam panas selama tiga hari diikuti batuk berpanjangan selama lebih kurang dua minggu.
“Saya menjalani ujian calitan setelah dimaklumkan salah seorang pesakit yang berada dalam satu bilik rawatan bersama saya disahkan positif Covid-19,” katanya.
Ujar Dr Syima, pada mulanya sukar untuknya menerima hakikat telah dijangkiti Covid-19 malah turut beranggapan kemungkinan pihak makmal telah melakukan kesilapan ketika menjalankan ujian.
“Tetapi saya mempunyai simptom dan sebagai petugas barisan hadapan memang kami adalah golongan yang berisiko tinggi untuk dijangkiti Covid-19,” kata Dr Syima lagi.
Menurutnya, setelah disahkan dijangkiti kategori 3B dengan jangkitan paru-paru beliau sendiri tidak mampu menyampaikan berita tersebut kepada semua ahli keluarganya.
“Bila jadi pesakit dalam kategori 3B, itu yang menyebabkan saya sedih dan takut sebab kita tidak tahu apa kemungkinan pengakhirannya nanti. Boleh atau tidak saya discaj dan kembali bertemu dengan suami, anak dan ahli keluarga lain,” katanya.
Tambah Dr Syima, dia bersyukur suami dan anak lelakinya yang berusia dua tahun tidak dijangkiti.
Mengimbas kembali sepanjang tempoh menjalani rawatan dan kuarantin bersendirian, beliau mengakui ketika awal tempoh rawatan emosinya agak terganggu dan sering menangis sehingga terpaksa dirujuk kepada pakar kaunseling.
“Sejujurnya, saya ada terfikir tentang kematian disebabkan saya mengalami jangkitan paru-paru. Kalau meninggal dunia, hanya ada doktor dan jururawat di hospital. Ahli keluarga hanya mampu berdoa dari jauh.
“Saya hanya berdoa supaya janganlah sampai saya dimasukkan ke ICU dan banyak menghabiskan masa dengan mengaji al-Quran dan berdoa supaya ALLAH memberikan kesembuhan dan supaya saya dapat peluang membesarkan anak di depan mata,” katanya lagi
Hampir sebulan mendepani cabaran dijangkiti Covid-19 dan terpisah jauh daripada suami dan anaknya, Dr Syima akhirnya kembali ke pangkuan keluarga tercinta.
Bagaimanapun Dr Syima mengakui setelah disahkan sembuh, pada awalnya dia trauma untuk meneruskan tugas sebagai doktor namun atas nasihat suami dan ibu bapa, beliau akhirnya memberanikan diri kembali bertugas merawat pesakit.
"Saya berehat panjang selama sebulan dan setelah semua okay, saya fikir balik kenapa perlu takut? Kalau kita telah menjaga SOP dan takdir kata mahu kena, kena juga tetapi kalau takdir Allah kata sembuh, kita akan sembuh," katanya lagi.
Dalam pada itu, suami kepada Syima, Arieff Zackry Zohary menyifatkan pengalaman isterinya bergelar pesakit Covid-19 sebagai amat menduga.
Peguam muda berusia 30 itu berkata, seluruh ahli keluarga terkejut apabila mendapat tahu isterinya dijangkiti virus bahaya tersebut.
Ini kerana isterinya tidak pernah culas mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berikutan tugas yang menuntutnya mengendalikan pesakit yang datang mendapatkan rawatan di klinik kesihatan tempatnya bertugas.
"Isteri saya memang patuh SOP sepenuhnya sampai kadang-kadang menjengkelkan, keluar tak boleh, itu tak boleh, ini tak boleh," kata Arieff Zackry kepada Sinar Harian.
Beliau menceritakan, ketika dimaklumkan positif Covid-19, isterinya menangis kerana bimbang akan menjangkiti ahli keluarga lain termasuklah anak lelaki mereka yang berusia dua tahun pada ketika itu.
"Semua frontliners ini sememangnya telah banyak berkorban. Jadi untuk menghargai mereka, kita perlu memainkan peranan dengan menjaga diri dan mematuhi SOP. Bantu mereka untuk bantu kita," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!