Percepatkan suntikan vaksin satu dos

Kerajaan disaran mempercepatkan pemberian vaksin untuk satu dos terlebih dahulu kepada semua rakyat.
Kerajaan disaran mempercepatkan pemberian vaksin untuk satu dos terlebih dahulu kepada semua rakyat.
A
A
A

SHAH ALAM - Beberapa saranan diutarakan pakar-pakar perubatan dan sains negara bagi menangani Covid-19 wajar dipertimbangkan kerajaan kerana ia dilihat praktikal untuk dilaksanakan.

Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi/Biostatistik) Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman berkata, beliau bersetuju dengan cadangan supaya dipercepatkan pemberian vaksin untuk satu dos terlebih dahulu kepada semua rakyat.

“Berdasarkan kajian yang dilakukan, pemberian vaksin kedua boleh dilewatkan. Jadi bagi rakyat yang telah mendaftar, mereka tidak perlu tunggu lama untuk dapatkan vaksin dos pertama sekiranya cadangan diutarakan itu dipertimbangkan kerajaan,” katanya.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan bahawa pakar perubatan dan sains memberikan lapan saranan untuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengatasi krisis Covid-19 yang kini sedang berada pada tahap kritikal.

Langkah yang dicadangkan itu hasil konsultasi Sinar Harian dan beberapa wartawan veteran yang prihatin dengan pakar-pakar perubatan dan sains negara.

Lapan cadangan itu adalah memperkukuhkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berdasarkan bukti sedia ada, ujian saringan Covid-19 berskala besar dan bersasar dilakukan secara percuma, pengurusan komuniti Covid-19 menggunakan alat digital dan mengoptimumkan penggunaan pusat berisiko rendah.

Cadangan turut menyentuh tentang pengurusan hospital dan unit rawatan rapi (ICU), meningkatkan vaksinasi dengan cepat, komunikasi risiko untuk mendidik dan memperkasa serta pelan sosioekonomi untuk jalan keluar yang lancar dan selamat/keluar daripada PKP.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia di ambang kritikal

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Dr Malina menegaskan, langkah terbaik untuk mengekang penularan Covid-19 ketika ini adalah dengan melaksanakan PKP penuh selain memperluaskan vaksinasi kepada rakyat.

Menurutnya, pelaksanaan PKP penuh sekurang-kurangnya dapat menyelamatkan sistem perkhidmatan kesihatan daripada runtuh.

“Jadi untuk memperlahankan penularan jangkitan wabak ini buat masa ini, PKP penuh adalah salah satu jalan terbaik,” katanya.Mengulas lanjut, Dr Malina turut mencadangkan kerajaan mengadakan musyawarah bersama semua pemegang taruh dalam mendepani krisis Covid-19.

Katanya, ia kerana ketika ini dilihat timbul percakaran antara kerajaan dan pembangkang tentang isu vaksin.

“Kalau kita boleh bersatu dalam isu Palestin kenapa tidak boleh bersatu dalam isu vaksin dan Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Pakar Kesihatan Pekerjaan dan Kesihatan Awam, Dr Hanafiah Bashirun berkata, kesemua lapan cadangan yang disuarakan boleh dilaksanakan namun ia memerlukan kos yang tinggi dan perlu dipertimbangkan dengan terperinci.

Katanya, keseluruhannya cadangan itu dilihat bukan pendekatan yang holistik dan menyeluruh.

“Saya bersetuju dari segi pengasingan pesakit iaitu hanya mereka yang tidak dapat mengasingkan diri dengan selamat di rumah sahaja ditempatkan di PKRC.

“Tetapi pada masa sama kita perlu ingat ada varian baharu yang boleh menyebabkan pesakit tiba-tiba meninggal dunia tanpa sebarang simptom. Keadaan ini juga perlu diambil kira,” katanya.Menyentuh mengenai ujian saringan Covid-19 berskala besar dan bersasar, beliau berkata, ia memerlukan kos yang tinggi dan dilihat tidak praktikal.

Tegasnya, jalan penyelesaian terbaik dalam mendepani krisis Covid-19 sebenarnya bergantung kepada sikap penjagaan kendiri rakyat.

“Kalau rakyat tidak ubah sikap penjagaan kendiri, kita akan ulangi episod PKP penuh berulang kali tanpa ada kesudahan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!