40 warga PDRM Perak dikuarantin

Mior Faridalathrash meninjau pelaksanaan hari pertama PKPD di SJR Medan Gopeng.
Mior Faridalathrash meninjau pelaksanaan hari pertama PKPD di SJR Medan Gopeng.
A
A
A

IPOH - Seramai 40 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak dikuarantin akibat jangkitan atau mempunyai kontak rapat dengan individu dijangkiti Covid-19.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, jumlah itu turut membabitkan kakitangan awam dan ahli keluarga dalam tempoh dua hari sehingga Jumaat.

"Di Kontinjen Perak, hanya seorang pegawai kanan disahkan positif Covid-19 selain enam kakitangan awam dan dua ahli keluarga.

"Berdasarkan rekod, 16 pegawai kanan dan anggota dikuarantin manakala penjawat awam (3) dan ahli keluarga 12 orang," katanya kepada pemberita selepas meninjau sekatan jalan raya (SJR) Medan Gopeng, di sini pada Sabtu.

Pada masa sama, Mior Faridalathrash berkata, pihaknya telah mengenal pasti lorong-lorong tikus di empat mukim yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di negeri ini.

"Tiada pemasangan kawat duri dilakukan kecuali di lorong tikus namun, kita akan mempertingkatkan kawalan pergerakan orang ramai dengan adakan SJR, pemeriksaan mengejut, Op Payung ditempatkan di lokasi orang ramai selain rondaan pasukan pemantau SOP," katanya.

Menurutnya, penguatkuasaan dilakukan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Kanun Keseksaan dalam tempoh PKPD itu.

Secara keseluruhan sebanyak 24 SJR diadakan yang meliputi keempat-empat mukim terbabit dan seramai 962 pegawai dan anggota polis ditugaskan mengawal empat mukim berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Empat mukim di Perak iaitu Pengkalan Hulu, Taiping, Hulu Kinta, dan Hulu Bernam Timur dikenakan PKPD mulai Sabtu hingga 4 Jun ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!