Sindiket seludup rokok dari Indonesia tumpas
KAJANG - Satu sindiket penyeludupan rokok dari Indonesia tumpas dengan rampasan rokok bernilai RM3 juta termasuk cukai dalam serbuan berasingan di sekitar daerah ini, pada Khamis.
Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Azri Ahmad berkata, operasi Op Kontraban sepasukan Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih bermula jam 1 petang berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia 34 dan 36 tahun.
Menurutnya, suspek pertama ditahan di Jalan Semenyih Mewah dan pemeriksaan di dalam kenderaan dinaikinya menemui 550 karton rokok bernilai RM121,276.32 termasuk cukai.
"Susulan itu, soal siasat kemudian membawa kepada serbuan kira-kira jam 11 malam di sebuah rumah teres dua tingkat di Jalan Kajang East.
"Seorang lelaki ditahan dengan rampasan 12,912 karton rokok bernilai RM2.9 juta," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang pada Sabtu.
Azri berkata, pihaknya turut merampas dua buah kenderaan, tiga telefon bimbit dan wang tunai RM6,832.
Tambahnya, modus operandi sindiket yang telah aktif hampir empat tahun itu dipercayai mendapatkan bekalan rokok secara tidak sah dari negara Indonesia sebelum diseludup melalui jalan laut. Rokok terbabit kemudian dibawa ke rumah teres tersebut yang dijadikan sebagai stor simpanan.
Katanya, rokok seludup itu akan dijual kepada peruncit di sekitar Kajang, Semenyih, Bangi serta Nilai, Negeri Sembilan.
"Polis percaya sindiket ini mampu mengaut untung RM30,000 sebulan hasil kegiatan haram mereka," katanya.
Tegas Azri, kedua-dua suspek telah direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Justeru, pihaknya berharap orang ramai dapat menjadi mata dan telinga polis dalam menyalurkan maklumat kes penyeludupan, kontraban dan jenayah rentas sempadan bagi memastikan negara tidak dicerobohi oleh mana-mana elemen berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!