Puting beliung setinggi pokok kelapa hempas bot

Yuzree bercerita tentang kejadian dan menggambarkan dua puting beliung yang menghempas botnya seumpama pokok kepala setinggi 10 meter ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lipat Sanggol Banggol, Jalan PCB, Kota Bharu pada Sabtu.
Yuzree bercerita tentang kejadian dan menggambarkan dua puting beliung yang menghempas botnya seumpama pokok kepala setinggi 10 meter ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lipat Sanggol Banggol, Jalan PCB, Kota Bharu pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Dua puting beliung setinggi pokok kelapa menghempas bot dinaiki lima pencandat sotong hingga nyaris lemas di perairan Pantai Cahaya Bulan, di sini petang Jumaat.

Kejadian berlaku jam 4 petang itu menyebabkan lima mangsa berusia 40 hingga 50 tahun yang memakai jaket keselamatan terapung di lautan antara lima hingga tujuh jam.

Pengemudi bot, Yuzree Mahmud, 50, berkata, mereka ke laut ketika cuaca cerah untuk mencandat sotong dan keluar dari Jeti Tok Lokang, Banggol pada jam 3.30 petang.

Kata Yuzree, kira-kira sejam perjalanan sejauh 18 kilometer dari jeti dia memberhentikan bot dan menunaikan solat Asar sebelum mahu meneruskan perjalanan namun dikejutkan dengan dua puting beliung setinggi 10 meter datang ke arah bot.

“Selesai solat, tiba-tiba nampak pusaran puting beliung berwarna putih di kiri dan kanan setinggi pokok kelapa jatuh ke atas laut menuju ke arah bot di bahagian belakang.

“Saya pecut bot sejauh satu kilometer tetapi tidak sempat dan terhempas menyebabkan air masuk, saya arahkan semua awak-awak terjun,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lipat Sanggol Banggol, Jalan PCB, di sini pada Sabtu.

Yuzree menunjukkan kesan luka lelasan kecil di lengan kirinya akibat kejadian bot terbalik dihempas puting beliung di perairan Pantai Cahaya Bulan di Kota Bharu pada petang Jumaat.
Yuzree menunjukkan kesan luka lelasan kecil di lengan kirinya akibat kejadian bot terbalik dihempas puting beliung di perairan Pantai Cahaya Bulan di Kota Bharu pada petang Jumaat.

Katanya, bot yang dimasuki air itu perlahan-lahan terbalik lalu karam sebelum cuaca bertukar gelap dan ribut berlarutan sehingga satu jam.

Artikel Berkaitan:

“Tiga orang daripada kami sempat capai tong ikan, seorang lagi saya baling tong cat untuk dia pegang manakala saya capai bekas nasi dan kosongkan untuk berpaut selama hampir lima jam.

“Kami nampak bot lain dan saya berenang sejauh lima kilometer sambil meniup wisel untuk mendapatkan pertolongan sebelum diselamatkan bersama tiga yang lain tetapi mangsa yang berpaut pada tong cat hanyut lebih jauh,” katanya.

Menurutnya, mereka dibantu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan dan dibawa ke Jeti Kastam di Pengkalan Kubur.

“Mangsa terakhir yang berusia 56 tahun terapung hampir tujuh jam sebelum ditemui oleh bot lain yang melihat cahaya pada jaket serta bunyi wisel dan diselamatkan serta dibawa ke Jeti Kuala Besar pada 2.30 pagi.

“Kejadian ini pertama kali berlaku sepanjang 20 tahun saya menjadi nelayan. Saya mengalami sakit-sakit badan namun amat bersyukur kerana kami selamat,” katanya.

Mangsa terakhir seorang lelaki berusia 56 tahun yang terselamat bersama empat rakannya selepas bot dinaiki terbalik di perairan Kuala Besar, Kota Bharu pada malam Jumaat.
Mangsa terakhir seorang lelaki berusia 56 tahun yang terselamat bersama empat rakannya selepas bot dinaiki terbalik di perairan Kuala Besar, Kota Bharu pada malam Jumaat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

“Lima mereka menaiki bot jenis fiber sepanjang 8.5 meter kaki berenjin Mercury 115 kuasa kuda (hp) terbalik kira-kira 13 batu nautika atau 24 kilometer dari daratan Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Besar, Badang.

“Kesemuanya terselamat kerana memakai jaket keselamatan dan diselamatkan nelayan dari bot lain selepas terapung lima hingga tujuh jam,” katanya.

Mangsa yang selamat ialah Yuzree Mahmud, 50, Che Muhamad Sabri Che Noh, 55, Norman Hishah Abd Rashid, 42, Muhamad Suhalim Ibrahim, 46, dan Mohamad Azml Mustafa, 35.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!