Covid-19: PH gesa tunda pemberian vaksin dos kedua
SHAH ALAM – Kerajaan digesa mempertimbangkan pelaksanaan ‘strategi tunda dos kedua’ bagi memaksimumkan jumlah penerima vaksin di negara ini sekali gus mengatasi isu kenaikan mendadak kes baharu Covid-19.
Perkara itu disuarakan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada Sabtu.
Menurut kenyataan itu, dengan kekurangan dos vaksin pada peringkat ini, isu peningkatan kes baharu dilihat mampu diatasi dengan menunda pemberian dos kedua sebagai mana strategi yang dilaksanakan di beberapa negara lain.
“Strategi ini digunakan oleh United Kingdom pada bulan November 2020 dan semakin banyak negara melaksanakan strategi penundaan dos kedua termasuk Singapura dan India.
“Penyelidikan terbaharu oleh University of Birmingham dengan kerjasama Public Health England mendapati bahawa pemberian Pfizer BioNTech booster 12 minggu selepas dos pertama berbanding dengan tiga minggu menghasilkan tindak balas antibodi yang jauh lebih kuat.
“Penyelidik dari Oxford University juga mendakwa pada bulan Februari bahawa ketika pemberian dos kedua vaksin mereka ditunda selama 12 minggu, tindak balas antibodi dilaporkan lebih dua kali ganda dibandingkan dengan normal,” kata kenyataan itu.
Menurut mereka, pendekatan menunda pemberian dos kedua penting melihat kepada perkembangan program pemberian vaksin yang lewat sekali gus menunjukkan kekurangan bekalan vaksin yang nyata.
“Kesannya ternyata melihat trend yang membimbangkan di seluruh negara. Oleh itu, kita mesti menerima hakikat ini dan menyedari bahawa ada keperluan sangat mendesak untuk kita melaksana strategi yang terbukti secara saintifik ini.
“Berdasarkan sains dan data, strategi ini telah terbukti berhasil. Oleh itu, kerajaan wajib proaktif dalam meratifikasi strategi-strategi ini dan berhenti meletakkan nyawa rakyat dalam bahaya,” kata mereka dalam kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!