MEF sifatkan kerajaan bijak tak laksana PKP penuh
SHAH ALAM - Kerajaan membuat keputusan bijak untuk tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara penuh, kata Presiden Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat supaya keseimbangan dicapai antara menyelamatkan nyawa dan mata pencarian.
Beliau berkata, MEF berterima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana mempertimbangkan pandangan peniaga secara teliti dengan tidak melaksanakan PKP secara penuh.
“Keputusan ini akan membenarkan peniaga untuk terus menjalankan operasi perniagaan dan memulihkan ekonomi.
“Kita mesti membuat kesimpulan bahawa Covid-19 akan tetap berada dalam komuniti kita untuk sementara waktu.
Kita perlu belajar bagaimana menanganinya dengan berkesan seperti menggalakkan program imunisasi, menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat dan menyekat pergerakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sementara itu, Syed Hussain berkata, MEF akan menasihatkan semua majikan dan pekerja bahawa tugas mengawal penularan pandemik Covid-19 bukan hanya terletak pada kerajaan semata-mata, sebaliknya rakyat perlu memainkan peranan.
“Kita mesti berdisiplin dan mengubah tingkah laku, sikap dan amalan kita dengan mematuhi SOP.
“Kita hanya dapat mengatasi masalah ini dengan bekerjasama dengan kerajaan dalam melakukan yang terbaik. Hanya itu yang dapat kita harapkan,” ujarnya.
Jelas beliau, sekiranya rakyat dapat melakukan yang terbaik, maka penyebaran Covid-19 dapat dikurangkan.
“Sekiranya kita gagal pada akhirnya, hanya ada satu jalan penyelesaian yang tersisa untuk iaitu PKP secara penuh atau ‘lockdown’.
“Seperti sekarang, PKP 3.0 dikatakan sudah membelanjakan sekitar RM300 juta sehari, sedangkan sepanjang tempoh PKP 1.0, Malaysia telah mengalami kerugian sekitar RM2.4 bilion sehari.
“Sebagai majikan, pekerja dan rakyat Malaysia, mari kita memantau dan mengurus SOP yang lebih ketat untuk menyokong kerajaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!