Polis Perak kesan pemilik FB dakwa suami diperas ugut
IPOH - Polis sedang mengesan pemilik akaun Facebook dipercayai seorang wanita yang mendakwa suaminya menjadi mangsa peras ugut polis hingga tular di laman sosial pada 11 Mei lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, individu tersebut diminta tampil memberikan maklumat bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
"Lepas dia hantar status itu, dia padam kembali hantaran yang mendakwa diugut oleh anggota polis. Saya sudah arahkan polis daerah Ipoh untuk jalankan siasatan.
"Kita sudah kesan, cari alamat dan sebagainya. Kita ada pergi ke premis berkenaan, dia tiada di sana. Jadi saya minta dia tampil ke hadapan," katanya ketika ditemui ketika tinjauan di sekatan jalan raya (SJR) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Jalan Sultan Nazrin Shah di sini pada Sabtu.
Menurutnya, polis tidak menerima sebarang laporan berhubung perkara tersebut namun ia tular di media sosial.
"Sekiranya mereka telah dianiaya, diperas ugut oleh agensi penguat kuasa, tampil ke hadapan supaya kita boleh ambil tindakan.
"Kalau takut untuk berjumpa orang lain, boleh berjumpa dengan saya sendiri untuk cari kebenaran kejadian ini," katanya.
Dalam satu hantaran di Facebook, seorang wanita meminta polis memulangkan kembali wang simpanan yang 'diambil' dari suaminya dalam kejadian di Klebang di sini.
Bagaimanapun Isnin lalu, individu berkenaan memuat naik satu lagi hantaran bagi meminta maaf kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di samping menambah bahawa dakwaan mengenai polis menahan dan memeras ugut suaminya hanya cerita rekaan suaminya bagi menggunakan wang simpanan mereka untuk tujuan lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!