Sivasangari kejutkan pemain nombor 10 dunia

Sivasangari dijadualkan bertemu pemain nombor dua dunia dari Mesir, Nouran Gohar dalam aksi pusingan ketiga Terbuka Antarabangsa El Gouna 2021 pada Ahad.
Sivasangari dijadualkan bertemu pemain nombor dua dunia dari Mesir, Nouran Gohar dalam aksi pusingan ketiga Terbuka Antarabangsa El Gouna 2021 pada Ahad.
A
A
A

PEMAIN skuasy negara, S Sivasangari mencipta kejutan apabila berjaya menewaskan pemain nombor 10 dunia, Tesni Evans dari Wales 3-2 pada pusingan kedua Terbuka Antarabangsa El Gouna 2021 di Mesir.

Pemain ranking nombor 36 dunia itu mencatatkan kemenangan 11-4, 5-11, 4-11, 11-5, 11-6 untuk melangkah ke pusingan ketiga, menurut laman sesawang Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA), www.psaworldtour.com.

Pemain berusia 22 tahun yang kini berpangkalan di Amerika Syarikat itu bagaimanapun bakal menghadapi cabaran getir apabila dijadualkan bertemu pemain nombor dua dunia, Nouran Gohar dari Mesir pada Ahad.

“Saya bermain dengan baik pada perlawanan pertama, saya sangat bersedia dan selesa. Tetapi pada perlawanan kedua dan ketiga saya berikan beliau banyak kesilapan. Beliau tidak menang, saya hanya memberikannya mata dan ia sangat mengecewakan.

“Pada perlawanan keempat, saya beritahu diri saya, saya ada kekuatan, jadi saya terus bermain walaupun ada peluang untuk menyerang. Ia berhasil...ia merupakan kemenangan yang baik, saya gembira dapat kembali,” beliau dipetik sebagai berkata dalam laman sesawang berkenaan.

Rekod pemain kelahiran Kedah itu agak baik di tanah Mesir apabila beliau mencipta kemenangan pertama ke atas pemain pada kedudukan 10 teratas dunia, setelah menewaskan Amanda Sobhy pada Kejuaraan Dunia Wanita, Oktober 2019. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!