Jangan jadi mangsa penipuan wang
GEORGETOWN – Orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa kes penipuan wang yang kerap berlaku di pasaran, terutamanya dalam tempoh memerangi pandemik Covid-19 ini.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kes-kes begini melibatkan pelbagai jenis seperti skim “cepat kaya”, pelaburan logam berharga dan komoditi, atau perdagangan mata wang yang haram.
“Bagi mengelakkan daripada terjebak dalam penipuan pelaburan, adalah sangat penting untuk menimba ilmu tentang konsep pengurusan kewangan yang betul serta mendidik kita bagaimana menguruskan aliran tunai dan pada masa yang sama melabur dengan bijak dan berhemat.
“Melalui pelbagai jenis alat pengurusan kewangan dan produk pelaburan yang sah di pasaran ini, kita dapat mencapai kebebasan kewangan dengan lebih cepat,” katanya dalam ucapan perasmian seminar pendidikan kewangan dalam talian “My Money and Me” yang dianjurkan oleh Malaysian Financial Planning Council (MFPC) cawangan Pulau Pinang.
Seramai 680 peserta turut serta dalam program tersebut untuk mempelajari pengetahuan pengurusan kewangan yang betul dan mengelakkan diri menjadi mangsa dalam penipuan.
Penceramah hari ini adalah profesional-profesional dari industri pengurusan kewangan negara, termasuk Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Agensi Kaunseling Kredit dan Pengurusan Kredit (AKPK), Persekutuan Pengurus-pengurus Pelaburan Malaysia (FiMM), Jabatan Hasil Dalam Negeri serta lain-lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!