Rentas kawad berduri, 19 warga asing dihadap ke mahkamah

No Image Caption
A
A
A

NILAI – Seramai 19 warga asing yang ditahan selepas merentasi batu penghadang serta kawad duri yang dipasang pihak berkuasa di sempadan Nilai – Kajang, pada Ahad lalu, akan dihadapkan ke Mahkamah Majisteret pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, kesemua mereka yang berusia antara 20 dan 42 tahun itu dipercayai datang dari arah Bukit Mahkota Bangi dan bekerja di kawasan perindustrian Arab Malaysia Nilai.

Katanya, kertas siasatan telah dirujuk ke kamar Timbalan Pendakwa Raya Negeri Sembilan, dan tindakan lanjut pendakwaan akan dilakukan pada Isnin.

"Kesemua tertuduh akan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat, Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana pencerobohan jenayah dan Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pada Ahad lalu, jam 8 pagi semasa sepasukan anggota polis membuat operasi pematuhan Covid-19 di kawasan Arab Malaysia-Bukit Mahkota, iaitu kawasan pentadbiran sempadan Nilai-Kajang, terlihat sekumpulan pekerja asing sedang merentasi penghadang batu dan kawad berduri di antara sempadan daerah Nilai-Kajang.

"Kita syaki kesemua individu itu yang datang dari Bukit Mahkota, Bangi telah merentasi batu halangan dan kawad duri yang pihak berkuasa letak di tengah sempadan jalan untuk ke Nilai.

"Tujuan halangan itu diletakkan bagi mengelakkan aktiviti rentas daerah dan negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bagi daerah sempadan," katanya.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!