Dewan Ulama Pas mahu tindakan tegas
KOTA BHARU - Dewan Ulama Pas Pusat menggesa kerajaan pemimpin beragama Islam mengenakan tindakan tegas terhadap individu yang menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri Baginda, Saidatina Aisyah menerusi Facebook.
Ketua Penerangannya, Mohd Asri Mat Daud berkata, sudah tiba masanya Kerajaan PH bertegas dalam soal menghina agama Islam kerana perkara seumpamanya seperti menjadi mainan pihak lain.
Menurutnya, perbuatan Foo Sing Wai menerusi karikatur tersebut mesti diambil tindakan tegas kerana secara jelas, tidak menghormati sensitiviti agama Islam yang merupakan agama Persekutuan serta mengguris perasaan lebih 17 juta penganutnya.
“Isu penghinaan ke atas Rasulullah SAW menerusi karikatur mempersendakan perkahwinan Baginda SAW dengan Sayidatina Aisyah yang berusia muda adalah satu tindakan sangat melampaui batasan...biadab dan tidak boleh dimaafkan.
“Menghina Rasulullah SAW bukanlah isu baharu dan pertama kali. Ia bagaikan suatu rancangan disengajakan dan mempunyai rangkaian luar dan dalam negara,
Tambahnya, perbuatan tersebut juga hakikatnya tidak menghormati ruang demokrasi apabila mengundang kemarahan majoriti rakyat daripada kalangan penganut Islam.
Malah katanya, di peringkat antarabanga sekalipun ia tidak diterima sebagai kebebasan bersuara kerana melampaui batasan kemanusiaan.
“Awas! Pemimpin Islam dalam kerajaan PH, anda sedang diperhatikan oleh rakyat kalangan penganut Islam khususnya sama ada anda mampu menjaga kesucian agama Islam atau sebaliknya.
“Malah Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah tahun 2018 memutuskan menjadi satu kesalahan berat memfitnah Nabi Muhammad SAW. Ia merujuk kes di Austria apabila seorang wanita berusia lewat 40-an membuat dakwaan dalam dua seminar awam tahun 2009 bahawa perkahwinan Nabi Muhammad SAW dengan Siti Aishah sebagai perbuatan fidofilia,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!