Pemakaian 'double face mask' digalakkan
SHAH ALAM - Pemakaian 'double face mask' digalakkan tetapi tidak diwajibkan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pemakaian dua lapis pelitup muka itu amat digalakkan terutama ketika berada di tempat sesak dan berisiko tinggi.
"Pemakaian 'double face mask' lebih berkesan iaitu dapat menapis lebih 95 peratus virus terutama di tempat awam yang berisiko tinggi contohnya di hospital.
"Ini juga disarankan Pusat Kawalan Penyakit (CDC)," katanya pada sidang akhbar beliau bersama Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pada Sabtu.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai gambar beliau memakai 'double face mask' bersama 'goggle' dan 'face shield' yang tular di media sosial ketika berada di hospital.
Beliau berkata, kebanyakan petugas kesihatan di hospital sememangnya digalakkan untuk memakai 'face shield' dan 'double face mask' atau pelitup muka N95.
"Kalau mereka bekerja di wad Covid-19 atau Unit Rawatan Rapi (ICU), mereka juga kena pakai pakaian lengkap termasuk peralatan perlindungan diri (PPE).
"Di hospital atau untuk perubatan, kita tidak galakkan pemakaian pelitup muka fabrik tetapi menggalakkan pemakaian pelitup muka tiga lapisan atau N95," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!