Pemimpin PH tolak dakwaan khianat orang Melayu
SEMENYIH - Pakatan Harapan (PH) dan parti-parti lain yang ingin merebut kerusi Dewan Undangan Negeri Semenyih kesemuanya sedang mempergiatkan kempen masih-masing menjelang hari pengundian pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu bulan depan.
Dua calon, masing-masing dari PH dan Barisan Nasional (BN), telah menolak tawaran untuk mengambil bahagian dalam satu perdebatan yang diatur badan pemerhati pilihan raya Bersih, kerana lebih suka meluangkan masa untuk bersama-sama dengan pengundi.
Selain bertemu pengundi, mereka juga menarik tokoh-tokoh penting parti untuk membantu berkempen menarik undi pada PRK yang akan diadakan pada 2 Mac nanti.
Memandangkan undi Melayu menjadi penentu di Semenyih, PH telah memberi penekanan kepada perjuangan membela kepentingan Melayu, sekali gus menangkis serangan lawan yang mendakwa kononnya ia telah mengkhianati orang Melayu.
Dalam ceramahnya di sebuah kampung tradisional Melayu di sini baru-baru ini, Naib Presiden PH yang juga Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata pelbagai masalah yang dihadapi badan-badan bertunjangkan Melayu seperti Felda dan Tabung Haji baru-baru adalah bukan angkara PH.
Ia, kata beliau, berlaku semasa pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui UMNO terdahulu, dan bukan PH yang telah mengkhianati orang Melayu.
“Kamu (dulu) ada kuasa, ada jawatan jadi pengerusi, jadi menteri tetapi jadi pengkhianat kepada orang Melayu. Ayuh orang Semenyih bangkit tolak UMNO dalam PRK akan datang,” kata Mohamed Azmin kepada para hadirin yang mendengar ceramahnya.
Walaupun ia tidak ada kena-mengena dengan kemelut dalam Felda, bekas Menteri Besar Selangor itu berkata kerajaan PH telah mengambil langkah-langkah untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh lembaga kemajuan tanah Persekutuan tersebut, yang kebanyakan penerokanya adalah orang Melayu.
Muhammad Aiman Zainali, 30, seorang jurutera dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), adalah calon PH dalam pertandingan empat penjuru di Semenyih yang sebelum ini dimenangi oleh gabungan parti kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei 2018.
Tiga calon lain ialah Zakaria Hanafi, 58, dari BN, Nik Aziz Afiq Abdul, 25, dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan calon bebas Kuan Chee Heng, 56.
Mohamed Azmin berikrar Semenyih akan terus menimati kemajuan di bawah PH, sebagai sebuah kawasan dewan negeri yang berjaya di Selangor, yang juga antara negeri terkaya di Malaysia.
“Di Selangor kita pertahan prinsip adil buat rakyat. Majoriti kita orang Melayu, kita bela orang Melayu, kita pertahan Islam.
“Tetapi orang Cina dan India juga kita jaga hak dan kepentingan mereka sebagai rakyat Malaysia dan rakyat Selangor,” kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu dalam ceramahnya semasa berkempen.
Semenyih adalah sebuah kawasan dewan undangan negeri separa bandar yang 68 peratus pengundinya terdiri daripada pengundi Melayu.
Persoalan-persoalan mengenai janji-janji PH dalam PRU14 dan kenapa sebahagian daripadanya tidak ditunaikan menjadi antara isu yang dimainkan pihak lawan untuk menafikan kemenangan PH dalam PRK Semenyih.
Bagi menjawab isu-isu berkenaan, Timbalan Presiden PH dan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata mereka akan menunaikan janji-janji itu sebara berperingkat-peringkat apabila keadaan ekonomi negara bertambah baik.
Beliau menarik perhatian bahawa kerajaan PH mewarisi hutang berjumlah lebih RM1 trilion selepas mengambil alih tampuk pemerintahan negara daripada BN, menyebabkan ia terpaksa mengkaji semula semua janji dalam manifestonya untuk PRU14 dahulu.
“Saya kira isya-Allah kita akan laksanakan bila sampai masa dan ketika yang sesuai, kalau tidak kesemua sekali (gus) ikut peringkat-peringkat bila mana kedudukan ekonomi kita bertambah baik,” jelas Muhyiddin.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata kerajaan perlu diberi masa untuk menunaikan janji-janjinya selepas dipilih memerintah negara bagi tempoh satu penggal lima tahun.
“Saudara pilih Pakatan Harapan bukan untuk bekerja selama lapan bulan...kita memilih kerajaan selama satu penggal bermakna maksimum lima tahun, jadi banyak juga masa lagi,” kata beliau.
Kerusi Semenyih kosong ekoran kematian penyandangnya Bakhtiar Mohd Nor dari PH pada 11 Januari lepas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!