Konflik Palestin-Israel jadi fokus
SEMUA pihak yang menginginkan keamanan dunia mendesak agar persengketaan antara Palestin dengan Israel ketika ini perlu dihentikan segera.
Malaysia turut tidak terkecuali dengan menyokong penyelesaian yang adil dan saksama melalui Penyelesaian Dua Negara atau Two-State Solution.
Baru-baru ini, Malaysia bersama Indonesia dan Brunei menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan Sidang Perhimpunan Agung PBB bagi mencapai resolusi damai untuk Palestin dan Israel, seterusnya mengakhiri kekejaman terhadap rakyat Palestin.
Gesaan itu dilakukan menerusi kenyataan bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.
Lidah Pengarang Sin Chew Daily menulis, seperti yang disarankan Muhyiddin, berdasarkan garis sempadan sebelum tahun 1967 dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin adalah satu-satunya jalan penyelesaian terhadap konflik Palestin-Israel.
Kata Muhyiddin, Malaysia akan terus menyokong segala usaha demi mencapai penyelesaian yang adil dan berkekalan.
Bagaimanapun, Sin Chew Daily berpendapat, krisis antara Palestin dengan Israel yang sudah berlarutan berdekad lamanya begitu sukar untuk diselesaikan dalam tempoh terdekat ini.
“Pada 15 Mei, sebuah bangunan 12 tingkat di Gaza yang menempatkan pusat media antarabangsa iaitu Associated Press dan Al Jazeera musnah dibedil oleh peluru berpandu Israel.
“Tindakan kejam Israel itu menerima kecaman seluruh dunia yang mendakwa ia telah mencabuli hak asasi manusia dan kebebasan akhbar antarabangsa.
“Beberapa media perdana antarabangsa turut mengutuk serangan berkenaan dan memohon Israel memberikan penjelasan sewajarnya kepada seluruh dunia,” tulis akhbar tersebut.
Associated Press turut menuntut bukti dari Israel terhadap dakwaannya mengenai Hamas dan siasatan bebas terhadap serangan tersebut.
Dalam usaha meredakan keadaan, menurut Sin Chew Daily, Israel cuba memberikan jawapan, namun ia sekadar penjelasan tanpa sebarang bukti yang meyakinkan.
“Israel mendakwa Menara Jala yang menempatkan pejabat Associated Press dan Al Jazeera itu adalah 'sarang’ menyimpan aset ketenteraan, milik pasukan risikan pejuang Hamas.
“Penjelasan dari Israel ini tidak dapat diterima oleh sesiapa memandangkan tiada bukti nyata yang boleh mengukuhkan dakwaannya,” tulis akhbar itu lagi.
Punca persengketaan terbaharu antara Palestin dengan Israel kali ini bermula 7 Mei lalu akibat pencerobohan dan serangan tentera Israel terhadap rakyat Palestin di Masjid al-Aqsa, diikuti serangan udara di Semenanjung Gaza sejak Isnin lalu.
“Sekurang-kurangnya 200 rakyat jelata Palestin termasuk kanak-kanak terkorban dalam serangan demi serangan dilancarkan oleh Israel. Yang mengalami kecederaan pula mencecah ribuan orang.
“Namun, Israel mendakwa jumlah kematian di pihak Palestin hanya 10 orang. Jumlah yang dilaporkan Israel ini jauh berbeza dengan keadaan sebenar,” kata Sin Chew Daily.
Dalam usaha menamatkan krisis yang berpanjangan, kini sudah tiba masanya untuk Majlis Keselamatan PBB melakukan tanggungjawab seperti yang diamanahkan oleh seluruh dunia.
PBB perlu bertindak dan mengambil langkah untuk memastikan keselamatan orang awam di seluruh wilayah Palestin.
“Badan antarabangsa itu mempunyai tanggungjawab dan peranan menghentikan semua keganasan dan mengekalkan keamanan antarabangsa,” tulis akhbar tersebut.
Mengikut perkembangan terbaharu, Israel dan Hamas pada Khamis secara rasmi bersetuju mengadakan gencatan senjata selepas kedua-dua pihak bertempur lebih 10 hari di Gaza.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bersetuju menerima gencatan tersebut. Menjadi harapan seluruh dunia agar peperangan tersebut segera dihentikan dan segala langkah perdamaian boleh dibawa ke meja rundingan.
*Ong Boon Teck ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!