Tujuh rumah kedai musnah dalam kebakaran

Keadaan tujuh rumah kedai yang musnah dalam kebakaran di Jalan Lee Ling Hin, Menglembu pada malam Sabtu. - Foto Bomba Perak
Keadaan tujuh rumah kedai yang musnah dalam kebakaran di Jalan Lee Ling Hin, Menglembu pada malam Sabtu. - Foto Bomba Perak
A
A
A

IPOH - Tujuh deretan rumah kedai musnah dalam kebakaran di Jalan Lee Ling Hin, Menglembu di sini pada malam Sabtu.

Kejadian sekitar jam 10 malam itu melibatkan lima kedai gunting rambut, kedai menjahit dan satu premis kosong.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Mohamad Fadzeli Che Husin berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 10.09 malam dan sebaik tiba didapati kebakaran telah merebak ke empat kedai.

"Api merebak dengan cepat disebabkan bahagian atas struktur kedai diperbuat daripada kayu dan dalam keadaan bersambung antara satu sama lain.

"Anggota turut berdepan sedikit kesukaran apabila sumber air agak berkurang pada peringkat awalnya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Api merebak dengan cepat disebabkan keadaan kedai yang bersambung antara satu dengan lain. - Foto Bomba Perak
Api merebak dengan cepat disebabkan keadaan kedai yang bersambung antara satu dengan lain. - Foto Bomba Perak

Beliau berkata, seramai 33 anggota yang dibantu Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh dan Simpang Pulai serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pekan Baru, Menglembu dan Pasir Pinji terlibat dalam operasi pemadaman itu.

Menurutnya, anggota membuat pemadaman menggunakan empat aliran 300 kaki pancutan bersumberkan air dari pili bomba sehingga kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan pantas yang dilakukan berjaya menyelamatkan dua lagi kedai di bangunan sama daripada terbakar.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengenalpasti punca kebakaran itu," katanya.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 12.07 malam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!