Lawan trauma selamatkan mangsa bot terbalik
KOTA BHARU - Dua bekas mangsa tragedi bot terbalik di Kuala Kemasin, Bachok antara ‘hero nelayan’ yang sedang berusaha melawan trauma ketika menyelamatkan mangsa terakhir di perairan Pantai Cahaya Bulan (PCB), di sini pada pagi Sabtu.
Hazahar Mat Sanisah, 49, dan anak lelakinya, Muhammad Iqram,19, kebetulan berada berdekatan di perairan Kuala Besar untuk mencandat sotong.
Hazahar berkata, dia turun ke laut kira-kira dua minggu selepas berehat hampir setahun kerana trauma akibat kejadian pada Jun tahun lalu yang mengorbankan lapan awak-awaknya.
Bercerita mengenai kejadian itu, dia berkata, sebaik menerima makluman bot terbalik di PCB pada jam 8.30 malam melalui jaringan komunikasi radio amatur, dia bergegas mengemudi bot yang digunakan untuk membantu menyelamat mangsa dalam kejadian Kuala Kemasin.
"Bot berkenaan baru saja dibaiki selepas rosak dalam kejadian itu.
"Saya menuju ke lokasi sejauh tujuh batu nautika bagi membantu menyelamat mangsa. Dalam keadaan ribut itu, saya berdebar-debar apabila mengetahui ada bot terbalik," katanya ketika ditemui di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kuala Besar, di sini, pada Sabtu.
Bagaimanapun Hazahar memberitahu, dia tetap bersemangat untuk membantu dan ketika tiba di lokasi sudah ada empat bot lain yang turut menolong mengangkat mangsa kelima.
“Mangsa kemudian dipindahkan ke bot saya dan dibawa ke Jeti Kuala Besar pada jam 2.30 pagi sebelum dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu,” katanya.
Katanya, sebagai nelayan, mereka perlu melawan perasaan trauma yang dihadapi untuk mencari pendapatan.
“Masih terbayang-bayang tragedi yang berlaku semasa membawa 19 pencandat sotong sebelum bot kami terbalik dipukul ombak.
“Kalau terdengar saja nelayan lain perlu pertolongan maka nyawa ‘letak tepi’ untuk membantu,” katanya.
Muhammad Iqram pula berkata, sakit dadanya terasa akibat perasaan takut hingga terbayangkan kejadian di Kuala Kemasin.
“Semasa kejadian lalu saya berpaut pada tong ikan selama dua jam dalam cuaca gelap dan sejuk serta turut sakit pada bahagian dada dan sukar bernafas.
“Mahu atau tidak, saya perlu membantu ayah. Kami masih perlu turun ke laut untuk mencari rezeki,” katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan sebuah bot dinaiki lima pencandat sotong terbalik dihempas puting beliung setinggi 10 meter di perairan PCB di sini pada jam 4 petang, Jumaat.
Mangsa, pengemudi bot, Yuzree Mahmud, 50, dan empat rakannya, Che Muhamad Sabri Che Noh, 55; Norman Hishah Abd Rashid,42; Muhamad Suhalim Ibrahim,46, dan Mohamad Azml Mustafa,35, yang memakai jaket keselamatan terapung sehingga tujuh jam sebelum dijumpai dan diselamatkan oleh bot nelayan lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!