Lapan termasuk wanita ditahan disyaki jual air ketum

Lokasi serbuan yang terletak agak terselindung berdekatan sebuah rumah di Kampung Sungai Layar Hujung, Sungai Petani.
Lokasi serbuan yang terletak agak terselindung berdekatan sebuah rumah di Kampung Sungai Layar Hujung, Sungai Petani.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Lapan individu termasuk seorang wanita ditahan dalam Ops Aidilfitri dan Ops Cantas kerana disyaki menjual serta mengedar air ketum di Kampung Sungai Layar Hujung pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, serbuan dilakukan di tiga lokasi berasingan yang terletak berdekatan antara satu sama lain.

Menurut beliau, di lokasi pertama, empat lelaki berusia antara 24 hingga 36 tahun ditahan bersama 351 bungkus plastik lutsinar disyaki berisi cecair ketum, enam bungkus plastik hitam mengandungi daun ketum dengan berat anggaran 30 kilogram (kg), dua dapur gas, satu periuk dan satu tong gas di hadapan sebuah pondok pada jam 4 petang.

Lokasi kedua serbuan disyaki tempat memproses air ketum untuk dijual.
Lokasi kedua serbuan disyaki tempat memproses air ketum untuk dijual.

"Kesemua mereka mengaku bekerja sebagai tukang masak dan pekerja pembungkusan air ketum untuk tujuan penjualan," katanya.

Beliau berkata, tangkapan kedua melibatkan tiga lelaki berusia antara 20 hingga 41 tahun bersama 250 bungkus plastik lutsinar berisi cecair disyaki air ketum, 10 bungkus plastik hitam disyaki mengandungi daun ketum seberat anggaran 50kg serta peralatan memasak pada jam 4.30 petang di hadapan sebuah rumah.

"Seorang daripadanya mengaku pemilik kesemua rampasan, manakala dua lagi adalah pekerjanya," katanya.

Tambah Adzli, tangkapan ketiga membabitkan seorang wanita berusia 44 tahun bersama 168 bungkus cecair disyaki air ketum, tiga bungkus plastik hitam mengandungi kira-kira 15kg daun ketum dan peralatan memasak di tepi sebuah rumah pada jam 5 petang.

Artikel Berkaitan:

Katanya, wanita itu bagaimanapun mengaku bahawa suaminya menjalankan perniagaan jual air ketum terbabit.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1956," katanya.

Lokasi serbuan ketiga membabitkan penemuan 168 bungkus plastik lutsinar berisi cecair disyaki air ketum.
Lokasi serbuan ketiga membabitkan penemuan 168 bungkus plastik lutsinar berisi cecair disyaki air ketum.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!