Lima pihak berjaya batal saman remaja putus kepala zakar
KUALA LUMPUR - Kerajaan Malaysia dan empat pihak lagi yang disaman seorang remaja atas dakwaan kecuaian hingga menyebabkan kepala zakarnya terputus semasa proses berkhatan sembilan tahun lalu berjaya membatalkan saman berkenaan.
Perkara itu dimaklumkan peguam, Mohamad Zainuddin Abu Bakar yang mewakili remaja malang berkenaan selepas prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad.
Selain kerajaan selaku defendan yang disaman remaja 19 tahun itu, pegawai perubatan Hospital Kuala Lipis, Pahang; pengarah hospital itu; doktor pakar dan pengarah Hospital Selayang, Selangor turut dinamakan sebagai defendan.
Mohamad Zainudin ketika ditemui selepas prosiding kes berkata, mahkamah membenarkan kelima-lima defendan membatalkan saman selepas mendapati tiada alasan untuk ianya dibicarakan selain proses berkhatan itu bukan dilakukan hospital dan diluar tanggungjawab hospital.
"Kami akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan mahkamah hari ini malah akan menggunakan segala peluang dan ruang yang ada demi keadilan anak guam kami,"ujarnya.
Sementara itu saman terhadap seorang lagi defendan iaitu pembantu perubatan yang dinamakan sebagai defendan pertama akan diteruskan selepas pembantu perubatan itu tidak mengemukakan permohonan untuk membatalkan saman.
Menurut Mohamad Zainuddin, mahkamah menetapkan 13 Mac untuk pengurusan kes tersebut.
Pada 19 Julai lalu, plaintif melalui ibunya memfailkan saman terhadap keenam-enam defendan kerana cuai sehingga menyebabkannya mengalami kecacatan kekal.
Melalui pernyataan tuntutan, remaja tersebut yang ketika kejadian berumur 10 tahun mendakwa defendan pertama tidak mengikut prosedur yang ditetapkan apabila memotong keseluruhan kepala kemaluannya atau 'glans penis' sebelum membuat penyambungan semula dengan menjahitnya tanpa mengikut prosedur yang betul.
Dakwa plaintif, semasa anaknya berada di Hospital Kuala Lipis, defendan kedua tidak memberikan rawatan segera selain tidak memaklumkan kepada plaintif serta ahli keluarganya bahawa keseluruhan kepala alat sulit itu terputus sebaliknya hanya dimaklumkan saluran kencing anaknya telah terpotong.
Plaintif mendakwa anaknya kemudian dibawa ke Hospital Selayang bagi menjalankan pembedahan menyambung semula kepala alat sulit dengan penutup getah diletakkan pada kepala zakar, namun selepas masuk hari ke-35, plaintif terperanjat selepas mendapati kepala alat sulit anaknya tidak ada lagi pada batang zakarnya.
Plaintif juga mendakwa defendan keempat memberi jaminan glans penis berkenaan kemungkinan akan tumbuh apabila anaknya mencapai usia akhir baligh, namun plaintif mendakwa apabila anaknya mencapai usia 17 tahun, kepala zakarnya tidak tumbuh dan remaja berkenaan mengalami kecacatan kekal di mana kemaluannya tidak dapat disambung semula.
Akibat kecacatan kekal itu, remaja berkenaan telah berubah sikap menjadi seorang yang amat pendiam dan tidak suka berkawan dengan rakan sebaya serta tidak faham dunia seksualiti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!