Empat nelayan cemas bot hampir karam
ALOR SETAR - Empat nelayan tempatan berdepan detik cemas apabila bot yang dinaiki mereka bocor dan hampir karam di kedudukan lima batu nautika barat daya Kuala Kedah pada jam 10.48 malam pada Sabtu.
Bagaimanapun, tindakan pantas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah berjaya menyelamatkan nelayan terbabit hasil Op Carilamat yang digerakkan melalui bot Perkasa 1226.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, operasi menyelamatkan diaktifkan sebaik sahaja menerima laporan sekitar jam 9.55 malam berhubung sebuah bot nelayan pukat tunda kelas C hampir karam akibat kebocoran.
"Semasa bot Perkasa 1226 tiba di lokasi kejadian, keadaan bot sudah separuh tenggelam dan hanya seorang mangsa memakai jaket keselamatan.
"Usaha menyelamatkan mangsa menghadapi sedikit kesukaran berikutan keadaan laut yang agak bergelora, namun kesemua mangsa berjaya diselamatkan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Mengulas lanjut, Noor Azreyanti berkata, empat mangsa iaitu tekong, Husin Muhammad, 49, bersama tiga krunya, Romli Hassim, 65, Amran Abu Seman, 49, dan Omar Bakar, 56, dibawa balik ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut.
Menurut beliau, salah seorang daripada mangsa mengalami kecederaan di lengan kanan dan telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar bagi rawatan lanjut.
"Seorang mangsa telah dihantar ke HSB Alor Setar untuk merawat kecederaan di lengannya, manakala tiga lagi dibenarkan pulang ke rumah bersama waris," katanya.
Dalam pada itu, Noor Azreyanti berkata, Maritim Malaysia mengingatkan semua yang berhasrat melakukan aktiviti di laut agar mengambil langkah-langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik dan membawa Personal Locator Beacon (PLB).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!