'Cukuplah sekali dijangkiti Covid-19'
SELAYANG - Ibarat mati hidup semula, pengalaman menjadi pesakit Covid-19 benar-benar memberikan keinsafan buat pesara kerajaan, Azizan Md Ali, 59 yang serik untuk menempuhi pengalaman sama.
Dia yang juga pengerusi Surau Hidayatul Mustaqim itu berkata, cukuplah sekali diberikan ujian tersebut dan berharap mereka yang belum dijangkiti wabak itu tidak merasai kesengsaraan yang dialaminya.
Azizan adalah antara 58 individu yang dijangkiti Covid-19 di Surau Hidayatul Mustaqim selepas 27 pelajar tahfiz surau berkenaan mengalami gejala demam sebelum menjalani swab pada 23 April lalu.
Bercerita lanjut, dia turut menjalani swab pada hari sama namun pada permulaannya tidak mengalami sebarang simptom dan kesannya mula dirasai selepas mengalami masalah pernafasan sehari kemudiannya.
"Saya tidak boleh bernafas pada pagi 24 April sebelum saya sendiri menyerah diri meminta supaya dihubungi ambulans untuk dibawa ke Hospital Selayang.
"Ketika itu keputusan Covid-19 belum keluar, jadi ingatkan hanya alami asma biasa. Namun kesakitan ketika itu memang luar biasa, sakit di dada yang apabila gunakan ubat biasa pun tidak hilang," kongsinya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Akuinya, motivasinya merudum 100 peratus sebaik mengetahui positif Covid-19 sekitar jam 4 petang setelah dimaklumkan pihak hospital.
Azizan dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) pada hari sama berbekalkan dua helai baju beserta sehelai kain pelekat.
"Emosi saya jadi sensitif. Ketika petugas hospital melarang orang awam melalui depan katil pun saya dah jadi sedih dan menangis, ibarat rasa terhina dan diri tidak berguna lagi.
"Walaupun dalam keadaan semput, saya tetap dibawa ke MAEPS untuk pemerhatian selama dua hari. Selepas keadaan semakin teruk baharulah saya dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.
Azizan berkata, dia meluahkan kesyukuran sebaik dihantar ke Hospital Sungai Buloh dan akuinya ketika itu motivasinya kembali meningkat kepada 70 peratus.
"Ini kerana saya diberikan bantuan pernafasan dan ditempatkan di bilik yang lebih selesa dengan setiap satunya mempunyai empat pesakit.
"Saya mendapatkan rawatan selama lapan hari di hospital berkenaan dengan lima hari menggunakan bantuan pernafasan selama 24 jam sehari sebelum disahkan pulih dan dibenarkan pulang," katanya.
Justeru, dia menyifatkan keputusan yang dilakukan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung prosedur operasi standard (SOP) ketat di masjid dan surau adalah tindakan yang tepat meskipun usaha itu dipertikaikan sesetengah pihak.
"Kita tak tahu penyebar wabak ini dan tak boleh percaya sepenuhnya melalui bacaan suhu badan sahaja kerana ada yang positif tanpa sebarang gejala.
"Selepas saya sembuh dan membuka semula surau, saya menjadi seorang yang tegas. Sesiapa yang datang surau wajib memakai pelitup muka dengan betul. Kalau tidak saya halau balik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!