ATM berkeupayaan bina dua lagi Hospital Medan

Mohd Shafiq Abdullah (kanan) meninjau sekitar wad ICU Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang didirikan di perkarangan Parker Hospital Kepala Batas pada Ahad. Foto Bernama
Mohd Shafiq Abdullah (kanan) meninjau sekitar wad ICU Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang didirikan di perkarangan Parker Hospital Kepala Batas pada Ahad. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkeupayaan membina dua lagi Hospital Medan bagi menampung jumlah pesakit Covid-19 yang kian meningkat, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri
Ismail Sabri

Beliau berkata, penambahan dua lagi Hospital Medan itu adalah berdasarkan keanggotaan petugas kesihatan ATM yang sedia ada ketika ini.

“Walaupun ketika ini ATM mempunyai tiga Hospital Medan iaitu di Tawau, Sabah; Kapit, Sarawak; dan Kepala Batas, Pulau Pinang, kami (ATM) masih mampu mewujudkan dua lagi Hospital Medan.

“Sebenarnya ATM boleh membina lebih banyak Hospital Medan namun untuk menambahnya, ATM perlu mendapatkan penambahan kakitangan iaitu 30 doktor dan 100 petugas paramedik,” katanya pada sidang akhbar secara maya selepas melakukan lawatan kerja ke Pharmaniaga LifeScience di Puchong di sini pada Ahad.

Ismail Sabri berkata, dengan penambahan kakitangan itu ia akan dapat membina lebih banyak Hospital Medan serta menambah kelengkapan dan peralatan kesihatan yang lain dalam menguruskan Covid-19.

“Saya telah memohon perkara ini (tambah doktor dan petugas paramedik) kepada kerajaan untuk mempertimbangkannya...kita tunggulah keputusan daripada kerajaan,” katanya.

Sementara itu di PULAU PINANG, unit rawatan rapi Hospital Medan di Kepala Batas yang dibangunkan dijangka mula menerima pesakit Selasa ini selepas melakukan ‘dry run’ esok.

Artikel Berkaitan:

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang melawat hospital itu pada Ahad berkata, terdapat banyak permohonan untuk mendirikan lebih banyak Hospital Medan di seluruh negara antaranya Negeri Sembilan dan Kelantan.

“Kita akan melihat keperluan sebelum kita menambah. Kita akan menggunakan ruang-ruang yang sedia ada untuk dijadikan ICU pesakit-pesakit Covid-19 kategori empat dan lima.

“Apa yang kita lakukan ini adalah menambah bilangan katil ICU (Unit Rawatan Rapi), tetapi ia bukan satu penyelesaian kerana kita menjangkakan kes akan meningkat dalam tempoh seminggu dua ini,” katanya sambil menasihatkan orang ramai membuat kawalan pergerakan kendiri dengan duduk di rumah.

Hadir sama, Ketua Staf Markas ATM Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zakaria Yadi; Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM Leftenan Jeneral Datuk (Dr) Zulkeffeli Mat Jusoh; Panglima 2 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad dan Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Datuk Dr Asmayani Khalib.

Mohd Zakaria ketika bercakap kepada pemberita selepas lawatan itu berkata, ATM komited membantu dalam usaha mengekang penularan pandemik Covid-19 melalui Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera (PKAT).

“Antaranya melaksanakan ujian saringan di zon-zon merah, lapangan terbang serta pintu-pintu masuk negara dan terkini ATM mengatur gerak Field ICU ke Hospital Kepala Batas yang mampu menempatkan 24 pesakit kritikal Covid-19,” katanya.

Kerja-kerja pemasangan hospital medan itu bermula pada 18 Mei dengan bantuan khidmat nasihat teknikal daripada Cawangan Kesihatan Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia.

Atur gerak Hospital Medan itu melibatkan tiga pegawai dan 30 anggota lain-lain pangkat daripada dua Batalion Perubatan, dua pakar bius dari Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan dan dua Pakar Teknikal Operasi Hospital Medan.

Peralatan dan kelengkapan pula melibatkan tiga Modul ICU, satu Modul X-Ray, tiga Khemah Uitilis TM 54, tujuh Khemah Utilis TM 26, aset-aset perubatan dan logistik am. - Bernama

TAG: Ismail Sabri, Hospital Medan, COVID-19, ATM, Dr Noor Hisham, Kepala Batas

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!