Puspakom Taiping ditutup sementara berikutan jangkitan Covid-19
PUTRAJAYA - Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) cawangan Taiping, Perak ditutup sementara bagi membolehkan proses sanitasi dan pembersihan secara menyeluruh dijalankan selepas beberapa kakitangan disahkan positif Covid-19.
Menurut kenyataan Puspakom, proses pengesanan kontak sedang dijalankan dan semua kakitangan cawangan akan menjalani ujian saringan Covid-19 selain menjalani kuarantin selama 14 hari.
"Pembukaan semula cawangan ini akan diumumkan kelak melalui saluran media sosial," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Berikutan penutupan sementara itu, semua bayaran janji temu bagi tujuan pemeriksaan akan dipulangkan secara automatik.
Pelanggan juga mempunyai alternatif untuk membuat pemeriksaan di cawangan lain iaitu di Gopeng, Ipoh, Teluk Intan, Manjung dan Mak Mandin, Pulau Pinang dengan membawa slip pengesahan janji temu cawangan Taiping. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!