Kesatuan rakyat kunci kejayaan negara lawan Covid-19

Nik Mohamad Abduh
Nik Mohamad Abduh
A
A
A

SHAH ALAM - Kesatuan rakyat Malaysia serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan merupakan kunci kejayaan negara melawan pandemik Covid-19.

Ahli Jawatankuasa Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, keberkesanan vaksin dalam menangani masalah Covid-19 juga akan terjejas sekiranya masih ramai rakyat yang menolaknya.

Selain itu, katanya, pihak pembangkang juga harus diberi lebih ruang dalam usaha bersama-sama melawan Covid-19 agar sebarang salah faham dapat dielakkan.

"Kes negeri 'Pulau Pinang vs Putrajaya' tidak boleh berulang. Elakkan pertembungan politik seupaya mungkin. Ia merugikan usaha melawan pandemik yang lebih utama ini," katanya dalam satu kenyataan yang dikongsi di Facebook beliau pada Ahad.

Ahli Parlimen Bachok itu turut menasihatkan rakyat Malaysia agar tidak terlalu takut dan bimbang dengan situasi Covid-19 yang berlaku di negara ini.

Beliau berkata, keadaan panik merupakan 'kesukaan dan kejayaan Covid-19 yang datang untuk membaham mangsanya'.

"Kita akan mencapai kesedaran rakyat pada tahap terbaik dalam masa terdekat, Insya-ALLAH. Kesedaran menyeluruh memerlukan masa mencukupi.

"Pemikiran dan budaya hidup masyarakat adalah berbeza-beza. Pandemik ini tidak pernah berlaku zaman ini walaupun ia sudah berlaku dalam sejarah.

Artikel Berkaitan:

"Suara-suara sumbang yang memperlekehkan SOP dan usaha kerajaan akan lenyap bersama lenyapnya Covid-19, Insya-ALLAH. Ini termasuklah suara agamawan yang sempit ilmunya, rendah faham kenegaraannya dan degil otaknya," kata beliau.

Tambah Nik Mohamad Abduh, Covid-19 merupakan ujian ALLAH yang akan datang dan akan pergi.

"Ketika ALLAH menguji, melihat, membezakan dan akhirnya memilih, maka biarlah Covid-19 yang pergi dan kita dipilih oleh ALLAH sebagai pemenang.

"Kepenatan 'frontliners' akan berakhir dengan kerehatan dan kemanisan bekerja. Rakyat yang patuh akan menikmati kebenaran dan kejayaan. Yang tak puas hati akan kekal tak puas hati. Ia bukan penawar dalam diri untuk disimpan.

"Terus patuh SOP, hiasi diri dengan kesabaran dan yakinlah pada kesudahan yang dekat daripada ALLAH maha berkuasa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!