Tiga beradik ditahan edar dadah
KEPALA BATAS - Empat individu termasuk tiga beradik yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah rumah di sini pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, serbuan dilakukan jam 5.30 petang itu turut merampas sejumlah 5,244 gram syabu bernilai RM204,400.
Menurutnya, ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati kesemua mereka bebas daripada pengaruh dadah, namun semakan dibuat mendapati salah seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau.
"Siasatan dilakukan mendapati dadah yang dirampas itu untuk dijual di pasaran tempatan.
"Selain dadah, kami turut merampas dua buat kereta jenis Produa Kenari dan Myvi serta wang tunai berjumlah RM1,050," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.
Noorzainy berkata, kesemua suspek berusia antara 42 hingga 51 tahun itu kini direman dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!