Mayat lelaki lemas dijumpai di Mantao, Beaufort
BEAUFORT - Seorang lelaki yang dipercayai tergelincir ketika menolak perahu dinaiki bapa dan kakak iparnya di sebuah sungai di sini ditemukan lemas dalam kejadian di Kampung Mantao di sini pada Ahad.
Difahamkan sebelum kejadian itu mangsa, Fairol Jisirun, 21, sempat membantu mengemas barang di tempat jualan sarang burung milik abangnya.
Bagaimanapun, ketika hendak pulang dari tempat berkenaan, mangsa dikatakan tergelincir ketika menolak perahu sebelum tenggelam dan gagal ditemukan.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob ketika dihubungi mengesah penemuan itu.
“Bagaimanapun, selepas tergelincir, abang mangsa yang turut berada di lokasi kejadian cuba membantunya, namun gagal kerana tidak tahu berenang.
"Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kemudiannya dimaklumkan dan usaha pencarian segera dilakukan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Ahad.
Yusoff Zaki berkata, mayat mangsa berjaya dijumpai tidak jauh dari lokasi terakhir mangsa tergelincir kira-kira jam 1 petang Ahad.
“Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Beaufort untuk tindakan selanjutnya dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut," katanya.
Beaufort sedang dilanda banjir dengan 610 mangsa dipindahkan ke empat pusat pemindahan sementara sehingga jam 4 petang ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!