Masjid dipecah masuk, tabung diumpil
RAWANG - Masjid Bandar Tasik Puteri dipecah masuk dan dua tabung diumpil dalam kejadian pada Sabtu.
Nazir masjid berkenaan, Mohd Yusri Ab Manaf berkata, kejadian dipercayai berlaku antara jam 6 hingga 7 petang ketika ketiadaan pegawai tadbir di masjid itu.
Menurutnya, kejadian disedari kira-kira jam 7 petang ketika bilal tiba di masjid untuk solat Maghrib.
"Siak meninggalkan masjid sekitar jam 6 petang sebelum bilal pula datang sejam kemudian. Ketika bilal tiba didapati pintu kaca di bahagian ruang solat wanita telah dipecahkan.
"Pemeriksaan mendapati dua tabung jenis kayu telah diumpil sementara dua tabung besi turut dicungkil namun tidak dipecahkan kerana tiada wang di dalamnya," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Bagaimanapun katanya, kejadian berkenaan tidak membabitkan kehilangan atau kerosakan barang.
"Semua tabung masjid sentiasa dikosongkan setiap hari. Kalau ada pun tidak banyak duit di dalamnya.
"Kita percaya perbuatan itu dilakukan oleh 'budak nakal' namun kejadian berkenaan tidak dapat dirakam kerana kamera litar tertutup (CCTV) di masjid tersebut tidak berfungsi ketika itu," katanya.
Katanya, pihaknya sudah membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!