Bot ditahan, 30 kg hasil ikan dirampas
LUMUT - Sebuah bot nelayan tempatan ditahan bersama 30 kilogram (kg) hasil tangkapan selepas dikesan melanggar syarat sah lesen dalam satu operasi di kedudukan 5.45 batu nautika barat laut Sungai Belukang perairan Bagan Datuk pada Sabtu.
Operasi sekitar jam 6.44 petang itu turut menahan dua kru termasuk tekong berusia 46 dan 54 tahun.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, operasi dilakukan selepas menerima maklumat awam akan kegiatan bot nelayan terbabit melakukan kegiatan tangkapan ikan di kawasan tidak dibenarkan.
"Bot Maritim yang sedang melaksanakan Ops Benteng dan Ops Pintas telah diatur gerak ke lokasi dan berjaya memintas bot nelayan itu.
"Ketika ditahan, bot tersebut disyaki sedang melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan kurang daripada 8.0 batu nautika di perairan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati bot itu dikendalikan dua warga tempatan dan mempunyai hampir 30 kilogram ikan campur.
"Bot, kru bersama hasil tangkapan dan pukat tunda telah dirampas sebelum dibawa ke Pusat Tahanan Vessel (PTV) Kampung Bharu bagi tujuan siasatan," katanya.
Beliau berkata, Maritim Perak berterima kasih di atas maklumat yang disalurkan oleh masyarakat setempat.
"Maklumat yang disalurkan dapat mencegah aktiviti salah laku jenayah di laut demi kesejahteraan bersama," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!