32 pemuisi ternama sertai Malam Kemuncak Puisi Buat Palestin
SHAH ALAM - Seramai 32 pemuisi ternama tempatan menyertai Malam Kemuncak Puisi Buat Palestin yang akan disiarkan secara langsung di Facebook PEMUISI BERKARYA pada jam 9 malam hingga 11 malam ini.
Presiden Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (Pemuisi), Datuk Dr Redzuan Ibrahim berkata, acara tersebut merupakan kemuncak kepada Program Puisi Buat Palestin yang bermula 17 September dan berakhir pada 24 Mei ini.
“Setakat ini sudah ada 60 penyertaan daripada rakyat tempatan dan luar negara dalam Facebook PEMUISI BERKARYA dan kami menjangkakan akan mencapai 80 penyertaan sehingga 12 tengah malam esok.
“Walaupun malam ini merupakan acara kemuncak, orang ramai masih boleh mengirim rakaman video puisi mereka yang bertemakan ‘Kemanusiaan Sejagat’ sehingga tengah malam esok,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Dalam pada itu, Redzuan berkata, sambutan yang diterima daripada pemuisi luar negara amat membanggakan.
Tambah beliau, malam kemuncak tersebut akan disertai oleh wakil dari Indonesia, Thailand, Singapura, Brunei, China, Belanda, Rusia dan Palestin.
“Antaranya, Sastry Bakry dan Asrizal Nur dari Indonesia, Dr Suraiya Japakiya dari Thailand, Profesor Madya Dr Zefri Ariff (Brunei) dan Dr Victor Pogadev (Rusia),” ujarnya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!