Bicara kes jenayah melalui teknologi komunikasi jarak jauh

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - Prosiding perbicaraan kes jenayah akan terus dijalankan di mahkamah terbuka di Semenanjung dan Labuan dengan kehadiran pihak terbabit dihadkan bermula Selasa ini apabila peraturan tambahan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 diperketat.

Menurut kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP), semua kes pertuduhan baharu dan permohonan perintah serta kes yang telah ditetapkan untuk perbicaraan akan dijalankan di mahkamah terbuka manakala kes yang ditetapkan untuk hukuman dan perintah serta pengurusan kes secara fizikal ditangguhkan.

Bagi kes jenayah yang ditetapkan untuk perbicaraan di mahkamah terbuka, pihak yang hanya dibenarkan hadir ialah tertuduh serta dua ahli keluarga atau rakannya, seorang timbalan pendakwa raya dan seorang peguam, atau bilangan yang dibenarkan oleh mahkamah.

Saksi yang terlibat dibenarkan menunggu di bilik saksi dengan pematuhan kepada keperluan penjarakan fizikal dan dihadkan kepada dua orang pada satu-satu masa.

Menurut PKPMP, pihak terbabit dikehendaki hadir di mahkamah mengikut masa yang ditetapkan dan tidak dibenarkan berada dalam mahkamah terbuka kecuali apabila kes mereka dipanggil.

Permohonan penangguhan kes pada saat akhir juga hendaklah dielakkan.

Prosiding perbicaraan kes jenayah di mahkamah terbuka akan dijalankan dengan keutamaan kepada kes sebelum tahun 2020 yang membabitkan prosiding sambung bicara melibatkan pesalah kanak-kanak, kes kepentingan awam merangkumi rasuah, jenayah komersial, alam sekitar, habeas corpus, keganasan rumah tangga serta pelanggaran peraturan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Pengendalian prosiding kes sivil pula akan dikendali melalui teknologi komunikasi jarak jauh berpandukan Arahan Ketua Hakim Negara bertarikh 7 Jan 2021.

Artikel Berkaitan:

Prosiding rayuan jenayah di Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi juga akan dijalankan melalui teknologi komunikasi jarak jauh.

Menurut PKPMP, sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuat kuasa, perbicaraan kes jenayah akan ditangguh dan prosiding kes sivil akan diteruskan melalui e-Kehakiman.

Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi Bahagian Komunikasi Korporat di talian 03-8880 4051/03-8880 4607 atau komunikasikorporat@kehakiman.gov.my.

Pada Sabtu, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan peraturan tambahan dalam tempoh PKP 3.0 diperketat di Semenanjung dan Labuan berkuat kuasa 25 Mei ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!