Pulau Pinang gesa warga emas daftar vaksin AstraZeneca pusingan kedua

No Image Caption
A
A
A

GEORGE TOWN - Kerajaan Negeri Pulau Pinang meminta golongan berusia 60 tahun dan ke atas di negeri itu mendaftar bagi menerima vaksin AstraZeneca pusingan kedua bagi warga emas yang dibuka bermula 12 tengah hari Ahad.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar Pulau Pinang Dr Norlela Ariffin berkata, Pulau Pinang menerima sebanyak 131,000 dos vaksin AstraZeneca untuk warga emas dan pihaknya meminta golongan itu merebut peluang ini kerana vaksin tersebut sesuai untuk mereka.

"Setakat 20 Mei lepas, hanya 61,000 daripada 192,000 warga emas yang mendaftar dalam MySejahtera telah daftar setuju untuk vaksinasi di Pulau Pinang dan kami harap lebih ramai (warga emas) mendaftar untuk mendapatkan vaksin tersebut yang pendaftarannya dibuka sehingga esok.

"Setakat ini, saya difahamkan pendaftaran menunjukkan perkembangan baik dengan slot bagi empat hari pertama untuk pemberian vaksin di Pusat Pemberian Vaksin AstraZeneca (PPVAZ) di Pusat Konvensyen Setia SPICE telah penuh," katanya ketika dihubungi Bernama pada Ahad.

Beliau berkata, bagi 1,735 warga emas di 56 pusat jagaan di Pulau Pinang termasuk 32 yang tidak berdaftar, program ‘outreach’ juga dibuat bermula minggu ini untuk mendaftarkan golongan itu bagi proses vaksinasi.

Norlela berkata, warga emas yang tiada kemudahan internet boleh menghubungi Pusat Kesihatan Daerah atau Pusat Maklumat Rakyat (PMR) Pejabat Penerangan Daerah terdekat bagi memohon bantuan pendaftaran oleh pihak berkenaan.

"Saya mohon sebarkan kepada rakan dan saudara mara yang berusia 60 tahun ke atas yang masih belum lagi diberi vaksinasi supaya mereka mendaftar kerana kita mahu mempercepat golongan tersebut untuk mendapat vaksin dan mempercepat usaha kerajaan melindungi rakyat daripada jangkitan Covid-19," katanya.

Beliau berkata, jika terdapat lebihan daripada 131,000 dos vaksin AstraZeneca untuk warga emas, pihaknya akan membuka pendaftaran kepada mereka berusia di bawah 60 tahun.

Artikel Berkaitan:

Katanya, bagi warga emas yang tidak mendaftar bagi proses vaksinasi pusingan kedua AstraZeneca, pihaknya mendapat 30,000 dos vaksin lain setiap minggu yang diberikan di lima pusat pemberian vaksin di Pulau Pinang.

Sebanyak 1,240,000 dos suntikan vaksin AstraZeneca ditawarkan kepada warga emas bagi pusingan kedua yang dibuka untuk tempahan slot janji temu bermula 12 tengah hari Ahad.

Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan pemberian suntikan itu akan bermula 7 Jun hingga 27 Julai untuk dos pertama di lapan PPVAZ di lima negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak.

Ia adalah antara langkah bagi memastikan warga emas, yang tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi, terus dilindungi. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!