Malaysia harap suara lebih besar dalam BWF
DATUK Kenny Goh, yang dipilih sebagai Ahli Majlis Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bagi penggal 2021/2024, menyatakan hasrat untuk melihat Malaysia mempunyai suara yang lebih besar dalam badan induk dunia itu.
Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu berhasrat mahu menyelesaikan banyak isu yang akan dibawa kepada BWF demi pembangunan sukan itu sama ada dalam negara mahupun luar negara.
"Saya ingin merakamkan terima kasih kepada Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang mencalonkan saya ke majlis itu dan semua anggota yang meletakkan kepercayaan terhadap saya.
"Secara berterus terang, kepercayaan terhadap saya serta lebih penting kerjasama sebagai satu pasukan bagi memastikan pembangunan sukan ini di Malaysia dan peringkat global,” katanya pada Ahad.
Pada mesyuarat agung tahunan (AGM) BWF ke-82 yang diadakan secara maya, Kenny mendapat 218 undi dan antara 20 yang dipilih sebagai ahli majlis.
Daripada jumlah itu, lapan adalah dari Asia, tujuh dari Eropah, dua masing-masing dari Pan Amerika dan Afrika dan seorang dari Oceania.
Bekas pemenang emas Sukan Olimpik Altanta 1996, Poul-Erik Larsen dari Denmark mengekalkan jawatan presiden tanpa bertanding serta timbalan presiden Khunying Patama Leeswadtrakul dan naib presiden (Badminton Para) Paul Kurzo turut mengekalkan kedudukan tanpa bertanding.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!