Jangan cuba bermain dengan api
NIBONG TEBAL - Pemuda UMNO Nibong Tebal memberi amaran kepada mana-mana individu supaya tidak bermain api dengan menyentuh hal dan agama Islam.
Ketuanya, Mohd Norhiesam Ismail berkata, tindakan seorang pengguna yang menghina Nabi Muhammad adalah satu perkara yang serius dan boleh mencetuskan ketegangan sekiranya pihak berkuasa tidak menangani dengan segera.
"Jangan cuba ganggu gugat keamanan negara dengan mempersenda dan menghina agama Islam atau bakal berdepan dengan kebangkitan orang Melayu dan Islam di negara in," katanya.
Menurutnya, walaupun pemilik akaun tersebut sudah ditangkap, namun mereka memohon supaya tangkapan itu didedahkan secara umum kepada masyarakat supaya tidak menjadi gimik bagi menutup gelombang kemarahan umat Islam di Malaysia.
"Tindakan pemilik akaun Facebook itu jelas membangkitkan kemarahan seluruh umat Islam di Malaysia dengan mempersenda Nabi Muhammad dan Saiyyidatina Aishah dengan karikatur jijik tersebut. Implikasinya sudah pasti keharmonian agama dan perpaduan kaum akan tergugat.
"Kami ingin menggesa polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bertindak serta hukuman paling maksimum perlu dikenakan ke atas pemilik akaun sebagai pengajaran kepada semua rakyat Malaysia supaya tidak sewenang-wenangnya mempersenda dan mempermainkan agama Islam," katanya ketika ditemui di perkarangan Balai Polis Simpang Ampat di sini, malam tadi.
Terdahulu, Mohd Norhiesam bersama Ahli Jawatankuasa Pas Kawasan Nibong Tebal, Usman Jaafar dan Pengerusi Gerakan Belia 4B Kawasan Nibong Tebal, Rokiman Shah Haron tampil membuat tiga laporan polis berhubung karikatur yang dimuat naik melalui akaun Facebook Foo Sin Wai beberapa hari lalu.
Mohd Norhiesam berkata, bersama mereka lebih 600 penyokong yang turut mengecam tindakan pengguna laman sosial berkenaan dan sokongan itu menunjukkan kesatuan umat Islam adalah amat kuat dan utuh.
"UMNO dan Pas akan terus berganding bahu demi isu-isu rakyat berkaitan Islam, Melayu dan negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!