Jangan ambil mudah Covid-19

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

KES positif Covid-19 bukan sahaja tiada tanda akan berkurang, malah semakin mendadak sekarang ini.

Pelaksanaan PKP 3.0 di seluruh negara bermula 12 Mei 2021 sehingga 7 Jun 2021 serta larangan merentas negeri dan daerah tidak sedikit pun mengurangkan kadar penularan virus yang berbahaya ini.

Namun, masih ramai yang beranggapan virus Covid-19 tidak berbahaya.

Bagi mereka, jika dijangkiti pun, sekadar hilang deria bau dan demam biasa berserta selesema dan hanya rehat 14 hari di pusat kuarantin.

Ya, mereka hanya lihat pada golongan dijangkiti yang berada pada tahap 1 dan 2.

Tahap 3 agak teruk kerana sistem pernafasan turut terganggu apabila adanya radang paru-paru namun pesakit masih mampu bernafas secara normal tanpa memerlukan sokongan oksigen.

Yang merisaukan apabila pesakit mencapai tahap 4 dengan gejala radang paru-paru yang teruk sehingga memerlukan bantuan oksigen untuk bernafas.

Apabila gejala bertambah teruk, pada tahap 5, mereka memerlukan rawatan intensif di unit rawatan rapi (ICU).

Artikel Berkaitan:

Pesakit tahap ini juga akan mengalami kerosakan satu atau lebih organ.

Walaupun tidak melibatkan kematian, pesakit sebegini akan sengsara seumur hidup akibat kegagalan organ, lebih-lebih lagi mereka yang berusia atau mempunyai sakit kronik.

Varian baharu virus Covid-19 terutamanya dari Afrika Selatan (B.1.351), United Kingdom (B.117) dan India (B.1.617.1), yang kini sudah ada di Malaysia, malah boleh memudaratkan mereka yang sihat tubuh badan, sekiranya dijangkiti.

Sememangnya menggusarkan apabila masih ada yang pandang remeh bahaya virus ini dengan bersembahyang dalam gelap secara rapat-rapat di surau bagi mengelakkan daripada diketahui polis.

Kini, kampung terbabit dikenakan PKPD bagi menyekat penularan wabak.

Ada pula yang mendapatkan kebenaran rentas negeri dan daerah dengan pelbagai alasan tetapi sebenarnya hanya untuk pulang bercuti dan lebih teruk, membawa virus bersama mereka.

Kita masih belum bebas selagi tiada imuniti berkelompok apabila majoriti rakyat telah mendapat dua dos vaksin.

Itu pun masih ada golongan antivaksin yang bukan sahaja menolak pengambilan vaksin, malah menyebarkan berita yang tidak benar bagi menakut-nakutkan golongan tua dan orang kampung agar mereka tidak mendaftar untuk vaksinasi.

Pengambilan vaksin umpama memakai topi keledar semasa menunggang motosikal.

Topi keledar tidak mengelakkan kita daripada kemalangan tetapi ia mengurangkan bahaya akibat kecederaan serius pada kepala sekiranya terjadi kemalangan.

Vaksin melatih antibodi kita untuk melawan virus Covid-19. Kita masih boleh dijangkiti tetapi kemudaratannya kurang berbanding jika tiada vaksin.

Saya menyeru setiap lapisan masyarakat menyahut kempen self-lockdown (kawalan pergerakan kendiri) yang dianjurkan oleh NGO Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma) bagi mengekang penularan Covid-19.

Antara yang dianjurkan; beli barang keperluan hanya seminggu sekali, isi minyak kenderaan dengan tangki penuh, solat berjemaah 5 waktu bersama keluarga di rumah, optimumkan pembelian secara dalam talian, polisi sifar tetamu, cari keperluan di kedai paling hampir dengan rumah, dan tidak keluar rumah dari jam 8 malam hingga 5 pagi kecuali kecemasan sahaja.

Sekiranya kita semua dapat laksanakan self-lockdown ini dan menggalakkan orang lain untuk turut serta, saya percaya kita akan berjaya dalam peperangan melawan Covid-19 ini.

* Dr Johari Yap ialah Pensyarah Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia merangkap Naib Presiden Macma Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!