Liverpool, Chelsea sambar slot Liga Juara-Juara
GERGASI Inggeris, Liverpool dan Chelsea akhirnya melengkapkan dua slot terakhir ke Liga Juara-Juara selepas mengakhiri saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini pada kedudukan ketiga dan keempat.
Dua jagoan EPL itu bakal mengiringi Manchester City dan Manchester United yang terlebih dulu telah mengesahkan slot automatik ke saingan berprestij kelab bola sepak Eropah tersebut.
Manchester City bimbingan Pep Guardiola menamatkan aksi musim ini dengan mengutip keseluruhan 86 mata manakala Manchester United kendalian Ole Gunnar Solskjaer berada di kedudukan kedua dengan 74 mata.
Pada perlawanan terakhir liga, Liverpool kendalian Jurgen Klopp tidak berdepan masalah menewaskan Crystal Palace 2-0 di Anfield untuk menamatkan saingan pada kedudukan ketiga dengan 69 mata.
Sementara itu, Chelsea kendali Thomas Tuchel pula mengakhiri saingan dengan 67 mata terpaksa akur kehebatan Aston Villa apabila tunduk 1-2 di Villa Park, namun cukup bernasib baik apabila pencabar terdekat Leicester City gagal memanfaatkan peluang beraksi di Stadium King Power apabila tewas 2-4 kepada Tottenham Hotspur.
Biarpun skuad Brendan Rodgers itu tewas, namun The Foxes bakal mengiringi West Ham United kendalian David Moyes ke saingan Liga Europa selepas menamatkan saingan pada kedudukan kelima keenam liga.
The Citizens melabuh tirai liga dengan status juara apabila menewaskan Everton 5-0 di Stadium Etihad manakala The Red Devils menewaskan Wolves 2-1 di Stadium Molineux.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!