PKPD: Bekalan makanan penduduk merentasi Sungai Kelantan

Bekalan makanan dan air minuman yang dikirimkan oleh anak penduduk di Teluk Renjuna, Mohd Zain Sulaiman,67, yang ditinggalkan di Jeti Kok Majid, Tumpat, sebelum pihak berkuasa membantu menyampaikan barangan itu selain bekalan yang diagihkan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada penduduk setiap tiga hari.
Bekalan makanan dan air minuman yang dikirimkan oleh anak penduduk di Teluk Renjuna, Mohd Zain Sulaiman,67, yang ditinggalkan di Jeti Kok Majid, Tumpat, sebelum pihak berkuasa membantu menyampaikan barangan itu selain bekalan yang diagihkan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada penduduk setiap tiga hari.
A
A
A

TUMPAT - Bekalan makanan dan minuman bagi kegunaan 1,583 penduduk di empat gugusan pulau di Mukim Sungai Pinang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sini dibawa merentasi Sungai Kelantan menggunakan bot.

Keadaan itu berikutan lokasi PKPD di Teluk Renjuna, Pantai Haji Nikmat, Pulau Beluru dan Pulau Suri tersebut berada dalam jarak agak jauh sekitar satu kilometer hingga 10 kilometer (km) dari tanah besar yang memerlukan pengangkutan melalui sungai.

Seorang penduduk Teluk Renjuna, Mohd Zain Sulaiman, 67, berkata, bot adalah pengangkutan utama penduduk di 30 gugusan pulau di daerah itu termasuk empat lokasi yang dikenakan PKPD sejak Sabtu lalu akibat penularan Covid-19.

Beliau berkata, kebiasaannya penduduk akan berulang-alik ke tanah besar bagi mendapatkan keperluan bahan mentah termasuk air minum kerana pulau tersebut dikatakan tidak mempunyai sumber air terawat.

“Kalau mandi dan bersuci kami gunakan air sungai. Cuma air minuman sedikit sukar ketika PKPD tetapi kini Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada menghantarnya setiap tiga hari.

“Sempatlah kami enam beranak minum sambil berjimat-jimat. Kalau tidak cukup akan minta tolong daripada saudara yang tinggal di tanah besar untuk membawa air ke Jeti Kok Majid sebelum pihak berkuasa membantu menghantarnya kepada kami,” katanya di Teluk Renjuna di sini pada Ahad.

Sinar Harian dan beberapa media sebelum itu menyertai rondaan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor yang bertugas mengawasi lokasi perairan di persekitaran PKPD menggunakan bot fiber PAC 740.

Rondaan oleh lima anggota PPM diketuai oleh Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Mohd Rudzuan Ahmad dan turut disertai dua anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Kelantan.

Artikel Berkaitan:

Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memantau kawasan rumah penduduk yang terlibat dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Mukim Sungai Pinang bermula Isnin.
Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memantau kawasan rumah penduduk yang terlibat dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Mukim Sungai Pinang bermula Isnin.

Seorang lagi penduduk, Amran Mohd Nor, 30, berkata, kebiasaannya dia memunggah empat hingga lima gelen air bersih dari tanah besar ke Teluk Renjuna setiap hari dengan bot bagi kegunaan dia, ibu dan adiknya.

“Semasa PKPD ini sedikit sukar kerana kami tidak dapat keluar untuk mendapatkan bekalan terutama air untuk diminum dan memasak.

"Bagaimanapun bekalan mencukupi kerana masih ada lagi air yang disimpan sebelum ini sebagai persediaan menghadapi PKPD,” katanya.

Penduduk di Pulau Beluru, Rokiah Salleh, 45, pula berkata, dia tidak mengalami masalah bekalan air kerana sudah mendapat kemudahan itu daripada kerajaan.

“Sepanjang tiga hari PKPD, setakat ini tidak sukar kerana penduduk dibekalkan beras, gula, gandum, minyak, susu, ikan sardin tin dan ikan kering.

“Makanlah apa-apa yang ada dahulu dan duduk di rumah dengan gelang merah jambu ini demi keselamatan semua orang," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan empat lokasi tersebut dikenakan PKPD bermula 22 Mei lalu sehingga 4 Jun ini akibat penularan Covid-19 yang mencatatkan 111 kes positif setakat Ahad.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!