Polis berkas lapan lelaki curi ekzos
KUALA LUMPUR - Sekumpulan penjenayah yang aktif mencuri tabung ekzos kenderaan di ibu kota tumpas selepas polis memberkas lapan individu dalam serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, dalam serbuan pertama pada jam 12.05 tengh hari, enam lelaki berusia 24 hingga 32 tahun ditahan di tiga lokasi di Taman Desa di sini.
"Kita turut merampas beberapa jenis kenderaan termasuk sebuah lori serta pelbagai peralatan disyaki digunakan untuk mencuri ekzos," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields pada Isnin.
Anuar berkata, hasil soal siasat, pihaknya berjaya memberkas seorang lelaki berusia 21 tahun di Kampung Sungai Tua Batu Caves pada jam 4 petang.
"Lelaki itu dipercayai membeli ekzos kenderaan curi yang dianggarkan bernilai RM119,310 (berdasarkan resit jualan yang dirampas daripada suspek bertarikh 1 April hingga 20 Mei)," katanya
Beliau berkata, susulan daripada tangkapan itu, seorang lagi lelaki berusia 26 tahun ditahan pada jam 10.50 malam di Klang.
"Lelaki itu berperanan mengeksport ekzos ke luar negara untuk diproses menjadi emas putih," katanya.
Anuar berkata, pihaknya turut merampas 30 ekzos filter, 31 ekzos, satu set pam angin dan alat pemotong serta sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.
"Modus operandi kumpulan penjenayah itu adalah mereka mencuri ekzos kenderaan yang diparkir di tepi jalan.
"Kesemua suspek direman tiga hari bermula Ahad hingga Selasa bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!