Jangan ganggu kami tangkap Mamat: Perhilitan

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu berharap orang ramai tidak menganggu usaha pihaknya menangkap seekor buaya digelar ‘Mamat’ yang didakwa muncul kembali di kawasan lombong tinggal di Kampung Tepoh, Kuala Nerus.

Pengarahnya, Dr Abdul Malek Mohd Yusuf berkata, beliau kesal kerana sebelum ini ada pihak tidak bertanggungjawab merosakkan perangkap yang dipasang oleh Perhilitan untuk menangkap buaya tembaga itu sekitar dua tahun lepas.

“Ketika kita pasang untuk tangkap ‘Mamat’ pada waktu itu, mereka rosakkan perangkap dan umpan pula dibuang. Bila jadi begini keberkesanan kita menangkapnya terganggu dan kurang berkesan.

“Saya tidak pasti kenapa mereka buat begitu, mungkin taksub dengan ‘Mamat’ namun ini adalah perbuatan ‘sayang tidak bertempat’ kerana haiwan ini boleh mengancam,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Menurut Dr Abdul Malek, bagi memastikan usaha menangkap buaya yang dipercayai saiznya sudah mencecah 5.79 meter tidak diganggu lagi, pihaknya membuat satu laporan polis di Balai Polis Batu Rakit pada Ahad.

Beliau berkata, laporan dibuat oleh pegawai dan kakitangan Perhilitan selepas mereka selesai memasang sebuah perangkap di sekitar kawasan lombong tinggal, Tepoh pada jam 10.30 pagi hari sama.

“Laporan ini dibuat sebagai persediaan awal sekiranya ada lagi gangguan daripada pihak tertentu. Saya harap orang ramai berilah kerjasama kepada kita menangkap buaya ini supaya tidak berlaku kejadian tidak diingini.

“Kita tidak tahu risiko yang akan berlaku, jadi lebih baik tindakan awal (menangkap buaya) diambil,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada Khamis melaporkan seekor buaya tembaga digelar Mamat yang muncul semula di kawasan lombong tinggal di Kampung Tepoh, Kuala Nerus dikatakan semakin membesar.

Menerusi video dimuat naik seorang pengguna laman sosial Facebook, dia mengatakan saiz reptilia yang dianggarkan berusia enam tahun itu kini dipercayai mencecah 5.79 meter.

Sebelum ini, pada 2019 kisah Mamat menarik perhatian penduduk di sekitar kampung itu apabila ia muncul kembali setelah menghilangkan diri selama dua tahun di kawasan lombong tinggal berkenaan.

Kisah buaya itu pernah tular pada 2016.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan dekati 'Mamat'- Perhilitan

Besarnya 'Mamat'

Mamat si buaya tembaga 'jinak'

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!