Iraq ulangi pendirian tegas terhadap isu Palestin
BAGHDAD - Speaker Parlimen Muhammad al-Halbousi mengulangi pendirian tegas dan teguh Iraq terhadap isu Palestin dengan menyokong penubuhan negara Palestin yang bebas dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara, lapor Agensi Berita Iraq (NINA).
Dalam pertemuan dengan Menteri Luar Palestin Riyad al-Maliki bersama delegasinya, Al-Halbousi berkata, Iraq berusaha menggunakan kemampuan diplomatiknya untuk menyokong perjuangan Palestin dan apa sahaja yang boleh menyumbang kepada menamatkan pencerobohan ke atas rakyat Palestin.
Katanya, Iraq juga akan membantu memulihkan semula kehidupan rakyat yang terjejas akibat serangan dan pengeboman.
Sementara itu, Menteri Luar Palestin mengucapkan terima kasih dan menghargai sokongan yang diberikan kepada rakyat Palestin oleh semua pihak. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!