10,000 individu ponteng janji temu vaksin di Kelantan

Sebahagian warga emas menunggu giliran untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 di PPV Dewan Tuanku Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok. - Foto Bernama
Sebahagian warga emas menunggu giliran untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 di PPV Dewan Tuanku Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan mendedahkan kira-kira 10,000 rakyat di negeri ini tidak hadir janji temu untuk suntikan vaksin Covid-19 pada tarikh yang ditetapkan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin berkata, situasi itu amat mengecewakan kerana suntikan tersebut merupakan salah satu usaha kerajaan dalam mengukuhkan imunisasi melawan jangkitan Covid-19.

"Lebih mengecewakan, individu terlibat memberikan pelbagai alasan antaranya mahu tukar tarikh, demam, melangsungkan perkahwinan dan sebagainya," katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Kompleks Kota Darul Naim di sini pada Isnin.

Beliau berkata, kegagalan menghadirkan diri juga amat mendukacitakan pelbagai pihak terutama Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) yang sedaya upaya menguruskan proses vaksinasi itu dengan sebaik mungkin.

Malah katanya, ia secara tidak langsung boleh menyebabkan berlakunya pembaziran dos vaksin tersebut.

Dr Izani Husin
Dr Izani Husin

"Kerajaan menyeru kepada mereka yang sudah mendaftar program imunisasi kebangsaan itu untuk memberikan kerjasama kepada JKNK dengan menepati janji temu ditetapkan," katanya.

Tambah beliau, rakyat yang belum berdaftar boleh membuat pendaftaran melalui saluran sedia ada termasuk menerusi aplikasi MySejahtera.

Artikel Berkaitan:

"Saya harap lebih ramai penduduk mendaftar bagi program imunisasi ini. Kelantan juga akan menerima bekalan vaksin Sinovac dalam kuantiti yang banyak pada Jun ini.

"Saya berharap orang ramai akan 'berebut' untuk mendapatkan suntikan vaksin dan bukannya menolak kerana dengan cara ini dapat mengurangkan risiko kita daripada dijangkiti Covid-19," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!